Hindu Sangam persoal penahanan 2 ahlinya oleh SPRM

Hindu Sangam persoal penahanan 2 ahlinya oleh SPRM

Peguam organisasi itu berkata seorang lagi pegawai turut disoal siasat berhubung dakwaan penyalahgunaan dana MITRA.

Ahli Hindu Sangam Malaysia dalam lawatan ke sebuah kuil di Selangor awal bulan ini. Seorang peguam untuk organisasi itu berkata dana MITRA telah disalurkan kepada kuil. (Gambar Facebok)
PETALING JAYA:
Malaysia Hindu Sangam, mempersoal penahanan dua ahlinya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana Unit Transformasi India Malaysia (MITRA).

Peguam yang mewakili persatuan itu, Rajesh Nagarajan, berkata beliau tidak faham mengapa SPRM menahan dua ahli persatuan itu.

“Pendirian Malaysia Hindu Sangam ialah mereka tidak menyalahgunakan sebarang dana hakikatnya sudah pun telah memulangkan wang itu kepada MITRA,” katanya kepada FMT.

Beliau tidak dapat mengesahkan jumlah wang yang terlibat tetapi berkata, dana daripada MITRA telah disalurkan kepada kuil.

Rajesh berkata, Malaysia Hindu Sangam adalah “mangsa” dalam situasi ini dan SPRM sepatutnya “mengejar” MITRA.

“Pegawai Hindu Sangam Malaysia adalah saksi. Mereka akan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa. Jadi, saya tidak nampak mengapa mereka perlu menangkap anggota persatuan itu.”

Beliau juga berkata, seorang lagi pegawai persatuan sedang disoal siasat oleh SPRM.

Katanya, peguam telah dihalang daripada menemani pegawai terbabit ketika disoal.

“Setiap orang mempunyai hak untuk mendapatkan perwakilan undang-undang. Mengapa kami tidak dibenarkan menemani pelanggan kami?”

FMT sudah mendapatkan maklum balas daripada SPRM.

SPRM berkata, siasatannya terhadap penggunaan dana MITRA hampir selesai, dan mereka yang terlibat akan didakwa.

Pada Oktober, SPRM menahan 16 pengarah syarikat kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dana MITRA diperuntukkan untuk pembangunan sosio-ekonomi masyarakat India.

Sebelum ini dilaporkan bahawa 337 syarikat, persatuan dan NGO telah diberikan RM203 juta dalam Peruntukan MITRA dari 2019 hingga 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.