Tubuh tribunal pengampunan untuk bekas tentera dipecat, kata persatuan veteran

Tubuh tribunal pengampunan untuk bekas tentera dipecat, kata persatuan veteran

Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Shahruddin Omar berkata penubuhan tribunal itu boleh meneliti setiap kes bekas tentera terbabit.

Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Shahruddin Omar berkata, anggota tentera yang ditamatkan perkhidmatan kerana masalah disiplin tidak harus dihukum seumur hidup.
KUALA LUMPUR:
Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) mengesa kerajaan menubuhkan tribunal pengampunan untuk bekas tentera yang melakukan kesalahan kecil sepanjang perkhidmatan mereka.

Presidennya, Shahruddin Omar berkata, tentera yang ditamatkan perkhidmatan kerana melanggar disiplin telah dihukum seumur hidup dan tidak menerima sebarang bantuan kebajikan.

“Penamatan khidmat bermaksud mereka dikeluarkan daripada rekod rasmi dan dianggap tidak pernah berkhidmat untuk negara. Ini sebabnya mereka dikenal pasti sebagai bekas tentera, bukan veteran,” katanya pada sidang media hari ini.

Berikutan itu katanya, mereka tidak layak menerima faedah yang diterima oleh veteran tentera.

“Menerusi penubuhan tribunal, kita tidak akan menghukum mereka hingga menderita sepanjang hidup. Mereka patut diberi akses terhadap faedah asas yang disediakan kerajaan,” katanya.

Sharuddin berkata, terdapat kira-kira 25,000 bekas tentera yang diberhentikan.

“Kira-kira 40% daripada mereka boleh menerima sebahagian daripada faedah itu sekiranya tribunal ditubuhkan untuk meneliti kes berkenaan,” katanya.

Katanya, mereka boleh mendapatkan relief di bawah Perkara 42(5) Perlembagaan Persekutuan yang memperkatakan penubuhan lembaga pengampunan bagi setiap negeri serta sebuah untuk Wilayah Persekutuan.

“Ramai dalam kalangan bekas tentera ini hidup dalam keadaan miskin atau mempunyai penyakit kronik serta tidak diberi akses kepada kelebihan seperti diterima oleh veteran. Mereka berhak untuk diberi peluang baharu dan perbicaraan yang adil,” katanya.

Sharuddin berkata, persatuan juga berharap skim pencen untuk veteran dan balu veteran dapat ditambah baik dengan menyediakan elaun kepada mereka yang tidak menerima pencen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.