PH subahat dalam kegagalan Putrajaya, kata Naib Presiden Warisan

PH subahat dalam kegagalan Putrajaya, kata Naib Presiden Warisan

Pemimpin PH mengkritik hebat kerajaan berhubung beberapa isu, namun mereka juga yang mengukuhkan pentadbiran itu, terutamanya menerusi MoU ditandatangani bersama, kata Junz Wong.

Bawah MoU yang ditandatangani Ogos lepas, PH bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi memulihkan kestabilan politik dan ekonomi, serta membolehkan Putrajaya mengendalikan wabak Covid-19.
PETALING JAYA:
Naib Presiden Warisan Junz Wong menuduh Pakatan Harapan (PH) bersubahat dalam kegagalan kerajaan berdasarkan memorandum persefahaman (MoU) bersama pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk pakatan pembangkang menarik diri daripada perjanjian itu.

“Setiap hari, pemimpin PH keluarkan kenyataan mengkritik kerajaan berhubung pemilikan saham Azam Baki, tetapi merekalah yang mengukuhkan pentadbiran itu,” katanya kepada FMT.

“Berapa lama lagi mereka akan bersubahat dalam kegagalan kerajaan?”

Junz Wong.

Azam, iaitu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), terbabit dengan kontroversi berikutan pendedahan bahawa beliau membenarkan adiknya membeli saham menggunakan akaun dagangannya.

Pemimpin PH telah mengkritik cara pihak berkuasa mengendalikan isu itu, serta kurangnya ketelusan dan tindakan berhubung perkara itu.

“Pengendalian kes Azam Baki dan sikap berdiam diri Jemaah Menteri mengenainya membimbangkan,” kata Wong.

“Rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap institusi seperti SPRM dan kini Suruhanjaya Sekuriti (SC).”

Beliau turut mengkritik cara kerajaan mengendalikan wabak Covid-19 dan ekonomi dengan berkata, MoU itu seolah-olah menghalang PH berjuang untuk membetulkan keadaan dengan berkesan.

Menurutnya, pemimpin PH mengkritik hebat bajet persekutuan tetapi tidak mengundi menentangnya.

Bawah MoU yang ditandatangani Ogos lepas, PH bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi memulihkan kestabilan politik dan ekonomi serta membolehkan Putrajaya mengendalikan wabak.

“Kestabilan politik apa? Dua pilihan raya negeri (PRN) telah diadakan dan timbul spekulasi mengenai satu lagi PRN di Johor,” kata Wong.

“Kita masih lihat jumlah kes Covid-19 yang tinggi dan kita semua tahu betapa teruknya ekonomi. Apa yang dicapai MoU hanyalah memperkukuh gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Kita lihat rakyat Malaysia yang bersatu pada pilihan raya umum (PRU) lalu makin hilang harapan terhadap pembangkang.

“Itulah sebabnya Warisan tidak mahu terbabit dengan MoU itu.”

Beliau menggesa PH mengakui tersilap kerana menandatangani perjanjian itu dan menarik diri daripadanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.