
Adam berkata, soal siasat adalah perkara biasa menjelang penganjuran sesuatu himpunan dan beliau menegaskan rakyat berhak mengadakan himpunan serta menyuarakan pandangan mereka.
“Perhimpunan tetap diteruskan dan saya fikir intimidasi biasa kita akan lihat apabila ada sebarang perhimpunan dijalankan.
“Perhimpunan (#TangkapAzamBaki), saya percaya pasti berlangsung dan tidak akan berlaku apa-apa. Ia adalah hak untuk mana-mana rakyat Malaysia berikan pandangan,” katanya di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Beliau dipanggil polis dan disoal siasat kira-kira 20 minit selepas memasuki IPD itu pada 2.45 petang tadi.
Semalam, terdapat laporan berhubung satu perhimpunan akan diadakan di ibu kota untuk menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, meletak jawatan.
Bagaimanapun, tidak pasti siapa penganjur perhimpunan itu yang dikatakan akan berlangsung berhampiran pusat beli belah Sogo di Kuala Lumpur.
Selain Pemuda PKR Perak dan wakil MUDA Damansara, Adam adalah antara individu yang berkongsi poster menyerupai Azam dengan perkataan “Tangkap Azam Baki”, yang tular di media sosial.
Poster itu turut disertakan dengan mesej “Reform SPRM” dan tanda pagar #TangkapAzamBaki.
Adam berkata, beliau disoal siasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Kebanyakan soalan dikemukakan berkaitan penganjuran (perhimpunan) dan juga beberapa sebaran maklumat dalam beberapa minggu ini. Serah (kepada) pihak polis teruskan siasatan,” katanya.
Sementara itu, peguamnya Syahredzan Johan berkata, Adam memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis hari ini.
Beliau berkata, siasatan dibuat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan kemarahan dan pecah keamanan.