Amaran cuaca buruk tak diendah sesetengah pihak, kata PM

Amaran cuaca buruk tak diendah sesetengah pihak, kata PM

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata Jabatan Meteorologi mengeluarkan sebanyak enam kali amaran cuaca signifikan yang boleh mengakibatkan hujan lebat berterusan.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, biarpun amaran hujan berterusan telah dikeluarkan, impak taburan hujan luar biasa iaitu 380mm sehari menyamai jumlah purata taburan hujan bagi tempoh sebulan, sangat tidak diduga oleh semua pihak. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa Jabatan Meteorologi mengeluarkan sebanyak enam amaran cuaca signifikan yang boleh mengakibatkan hujan lebat berterusan sebelum banjir besar melanda Selangor pada 18 Dis.

Bagaimanapun jelasnya, amaran itu tidak diendahkan oleh sesetengah pihak yang terlibat secara langsung dalam pengurusan bencana kerana terdapat andaian hanya negeri di Pantai Timur yang akan terjejas oleh hujan lebat berterusan akibat luruan monsun.

Justeru katanya, persediaan bagi menghadapi musim tengkujuh juga lebih banyak tertumpu kepada negeri di Pantai Timur dan banjir luar biasa di Selangor yang berlaku adalah di luar jangkaan banyak pihak.

“Berikutan keadaan banjir luar biasa yang tidak disangka ini, situasi kelam kabut yang berlaku pada hari pertama pengurusan banjir di Selangor mengakibatkan pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk menjalankan operasi kerana berlakunya kompleksiti banjir bandar (urban flooding).

“Malah pengurusan banjir di Selangor masih tidak menunjukkan perubahan yang ketara pada hari kedua dan ketiga sehingga menyebabkan ketidakpuasan hati mangsa-mangsa berikutan kelewatan operasi menyelamat dan penghantaran bantuan,” katanya pada Mesyuarat Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Menyedari situasi banjir semakin kritikal di Selangor, Ismail berkata, beliau bergegas ke Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) pada malam 18 Dis bagi mendapatkan maklumat dan mengetahui situasi sebenar di lapangan.

Beliau berkata, antara tindakan segera yang diambil adalah mengaktifkan talian hotline bagi memudahkan aduan dan pertanyaan berkaitan banjir melalui NDCC serta menghubungi Panglima Angkatan Tentera (PAT), Panglima Tentera Darat (PTD) dan Ketua Polis Negara (IGP) bagi menggerakkan anggota dan aset tambahan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan polis dari negeri berhampiran ke Selangor bagi membantu operasi menyelamat mangsa banjir.

“Ini kerana sebahagian besar aset seperti bot penyelamat telah siap sedia ditempatkan di negeri-negeri lain khususnya Pantai Timur yang dijangkakan berisiko berdepan dengan banjir besar.

“Kejadian banjir yang berlaku ini melebihi kemampuan jentera tindak balas bomba Selangor. Selangor juga jarang berdepan dengan banjir besar luar biasa seperti kali ini,” katanya.

Merujuk kepada banjir besar melanda Taman Sri Muda Shah Alam, Ismail berkata, biarpun amaran hujan berterusan telah dikeluarkan, impak taburan hujan luar biasa iaitu 380mm sehari menyamai jumlah purata taburan hujan bagi tempoh sebulan, sangat tidak diduga oleh semua pihak.

“Sebagai contoh, meskipun penduduk di Taman Sri Muda, Shah Alam sudah biasa berdepan banjir kilat akibat hujan lebat namun mereka tidak menyangka air akan naik begitu cepat dan tinggi pada kali ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.