Pengurus ditahan beri butiran palsu projek baik pulih jambatan RM150,000

Pengurus ditahan beri butiran palsu projek baik pulih jambatan RM150,000

Suspek ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru kira-kira 5 petang selepas hadir untuk memberi keterangan.

Pengurus lelaki itu disyaki mengemukakan butiran palsu berkaitan tender kepada PBT bagi mendapatkan kerja baik pulih jambatan di Yong Peng pada April 2021.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan pengurus sebuah syarikat yang disyaki mengemukakan butiran palsu untuk mendapatkan projek membaik pulih jambatan di Yong Peng bernilai lebih RM150,000.

Sumber dipetik Kosmo berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru kira-kira 5 petang selepas hadir memberi keterangan.

Difahamkan, suspek mengemukakan kebenaran menyertai tender mengandungi butiran palsu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di sebuah daerah bagi mendapatkan projek itu pada April 2021.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Dalam kes berasingan, SPRM Batu Pahat menahan seorang lelaki Bangladesh yang disyaki menyogok penguat kuasa sebuah PBT hampir RM300.

Warga asing berusia 34 tahun itu yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit di Skudai bertindak demikian sebagai dorongan tidak dikompaun penguat kuasa terbabit kerana menjual arak dan rokok tanpa cukai serta melanggar Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Suspek ditahan di Pejabat SPRM Johor pada 2.30 petang tadi selepas hadir memberi keterangan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Azmi Alias dilapor mengesahkan kedua-dua penahanan terbabit.

Kedua-dua suspek ditahan 24 jam dan akan dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.