
Ia berikutan keputusan oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Nallini Pathmanathan dalam memutuskan dokumen diminta penduduk TTDI adalah dokumen awam, di bawah Akta Keterangan dan boleh diterima.
Bagaimanapun, beliau berkata isu mengenai kerelevanan dokumen itu akan ditangani pada pendengaran rayuan itu.
Beliau juga berkata, peguam mewakili pihak-pihak dalam rayuan itu bebas untuk menyangkal dokumen berkenaan.
Hakim Nallini yang bersidang bersama Zaleha Yusof dan Rhodzariah Bujang, berkata dokumen itu dimasukkan dalam rekod rayuan dan oleh itu penduduk tidak perlu memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran bagi mengemukakan dokumen tersebut sebagai bukti baharu dalam rayuan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menolak permohonan kebenaran oleh penduduk untuk memasukkan dokumen berkenaan sebagai bukti baharu dalam rayuan tersebut.
Dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian, peguam Gurdial Singh Nijar yang mewakili penduduk, mahu Bab 6 LKAN 2019 Siri 2 yang diterbitkan dan dibentang di Dewan Rakyat pada 29 Sept 2021 dan tambahan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 yang telah diterima pakai dan digazetkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 30 Okt 2018 untuk dimasukkan dalam rayuan.
Beliau berkata, dokumen berkenaan relevan untuk menentukan rayuan, terutamanya berkaitan dengan isu sama ada Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020, mempunyai kesan undang-undang.
Pada 1 Sept tahun lalu, DBKL, pemaju Memang Perkasa Sdn Bhd (MPSB), Yayasan Wilayah Persekutuan dan Persatuan Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara memperoleh kebenaran untuk meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan perintah pembangunan projek perumahan Taman Rimba Kiara.
Mahkamah Rayuan pada 27 Jan 2021, membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Nov 2018 yang menolak semakan kehakiman oleh penduduk bagi membatalkan kebenaran perancangan bersyarat dan perintah pembangunan dikeluarkan DBKL.