BERSIH gesa persempadanan semula kawasan pilihan raya, elak diskriminasi pengundi muda

BERSIH gesa persempadanan semula kawasan pilihan raya, elak diskriminasi pengundi muda

Suruhanjaya Pilihan Raya perlu kemuka bilangan pengundi baru bagi setiap kawasan Parlimen dan DUN supaya semua rakyat boleh menilai skala masalah dihadapi.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil berkata, persempadanan kawasan pilihan raya boleh dilaksanakan tanpa menunggu genapnya jurang lapan tahun selepas pelengkapan kajian sempadan lalu.
PETALING JAYA:
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya khususnya di kawasan bandar agar tidak berlaku diskriminasi undi terhadap lebih 5.8 juta pengundi muda susulan pelaksanaan Undi18.

Gabungan itu berkata, kebanyakan pengundi baharu akan tertumpu di kawasan padat pengundi di pusat bandar kerana di situ banyak peluang pekerjaan dan pendidikan yang menarik pengundi muda.

“Jika persempadanan tidak berlaku dan tiada juga alternatif lain, maka ramai pengundi baharu akan rasa tertipu kerana percaya mereka ada kuasa untuk menentukan masa depan negara dan diri sendiri, tetapi akhirnya undi sendiri tidak bernilai berbanding dengan undi orang lain,” katanya dalam kenyataan.

BERSIH berkata, persempadanan kawasan boleh dilaksanakan tanpa menunggu genapnya jurang lapan tahun selepas pelengkapan kajian sempadan lalu, iaitu selewat-lewatnya pada 2023 untuk Sarawak, 2025 untuk Sabah dan 2026 untuk Semenanjung di bawah peruntukan Perkara 113(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Di bawah Perkara 113(3) untuk mana-mana negeri yang mengalami perubahan bilangan kerusi Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri, persempadanan semula mesti dijalankan bagi memenuhi kehendak ‘lebih kurang sama banyak’ dan ‘pemeliharaan hubungan tempatan’,” katanya.

BERSIH bagaimanapun memberi peringatan bahawa persempadanan semula boleh memburukkan lagi diskriminasi undi terhadap pengundi baharu atau lama jika proses berkenaan disalah guna untuk menguntungkan parti tertentu, bukannya memenuhi kehendak Perlembagaan.

Justeru, jawatankuasa itu mencadangkan agar SPR mengemukakan bilangan pengundi baharu bagi setiap 222 kawasan Parlimen dan 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya rakyat boleh menilai skala masalah yang dihadapi.

Selain itu, BERSIH turut menggesa Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi Hal Ehwal Pilihan Raya (JPKP-HEPR) membincangkan perubahan kerusi Parlimen untuk memindahkan kerusi daripada negeri yang kurang pengundi ke negeri yang banyak pengundi tanpa mengubah jumlah kerusi di Semenanjung dan Sabah Sarawak bagi mengelakkan pembahagian tidak sekata dalam negeri dan amalan gerimander.

Namun katanya, jika kerusi perlu ditambah, terdapat dua syarat perlu dipatuhi:

  • Kerusi ditambah dahulu untuk negeri mengalami ‘kurang perwakilan’ sebelum negeri yang telah pun mengalami ‘lebih perwakilan’ supaya bilangan pengundi purata diwakili seorang Parlimen sama di antara negeri-negeri Semenanjung dan di antara Sabah dan Sarawak.
  • Bilangan kerusi Sabah, Sarawak dan Labuan terjamin iaitu satu perempat daripada jumlah ahli Dewan Rakyat sebelum ada pengaturan pakej yang lebih baik ditawarkan.

Sebagai alternatif, jawatankuasa itu berkata, jika parti-parti tidak mahu memperbetulkan pembahagian tidak sekata antara dan dalam negeri, maka JPKP-HEPR perlu mengkaji pindaan Perlembagaan untuk mewujudkan kerusi senarai parti dan mengurangkan diskriminasi terhadap pengundi muda dan pengundi bandar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.