
Oleh yang demikian, SC memutuskan bahawa tiada pelanggaran Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat).
SC menyenaraikan dua dapatan dalam kenyataan hari ini, yang dibuat untuk menjelaskan bahawa keterangan bebas yang diperolehi inkuiri ke atas akaun dagangan Azam Baki menunjukkan:
- Azam Baki adalah penama akaun saham dan mempunyai kuasa ke atas akaun itu.
- Azam Baki telah mengendalikan akaun yang dibukanya itu, dan telah menyampaikan arahan untuk jual, beli, serta pemindahan saham daripada akaun tersebut.
Sebelum ini, SC memulakan inkuiri selepas Azam menjelaskan bahawa adiknya, Nasir Baki, melakukan pembelian empat juta saham dan waran dalam syarikat tersenarai awam, pada 2015-2016 menggunakan akaun dagangan beliau.
SC dalam kenyataan semalam, mengumumkan ia tidak dapat memastikan “secara konklusif” sama ada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu melakukan tindakan menyalahi Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat).
Susulan itu, Azam berkata beliau bersyukur dengan dapatan SC dan menambah suruhanjaya itu memaklumkan bahawa siasatan terhadap perkara itu “telah dimuktamadkan” dan “telah menutup” fail inkuiri tersebut.
Azam juga menganggap keputusan SC itu sebagai “mendapati tiada kesalahan dilakukan oleh saya”.
Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) menyatakan semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan; dan semua urus niaga sekuriti hanya boleh dilakukan pemilik manfaat sekuriti atau penama dibenarkan.