Akaun dagang Azam Baki: Lakukan siasatan penuh, rujuk Peguam Negara, gesa bekas timbalan pendakwa raya

Akaun dagang Azam Baki: Lakukan siasatan penuh, rujuk Peguam Negara, gesa bekas timbalan pendakwa raya

Fahmi Abdul Moin berkata kesimpulan awal Suruhanjaya Sekuriti tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya merumitkan keadaan.

Fahmi Abdul Moin menganggap inkuiri sebagai ‘prasiasatan’ yang biasa dilaksanakan sebelum kertas siasatan penuh dibuka.
PETALING JAYA:
Seorang bekas Timbalan Pendakwa Raya menggesa Suruhanjaya Sekuriti menjalankan siasatan penuh berhubung penggunaan akaun dagangan Azam Baki oleh pihak ketiga dan dirujuk kepada Peguam Negara bagi menentukan sama ada kes itu patut digugurkan atau sebaliknya.

Fahmi Abdul Moin menganggap kenyataan SC semalam bahawa ia tidak dapat memastikan “secara konklusif” sama ada Ketua Pesuruhjaya SPRM itu menyalahi Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) sebagai “kesimpulan awal” yang belum dimuktamadkan.

“Daripada pemahaman saya, inkuiri ini ‘prasiasatan’. Ia perkara biasa yang dilaksanakan sebelum kertas siasatan penuh dibuka,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, SC memulakan inkuiri selepas Azam menjelaskan bahawa adiknya, Nasir Baki, melakukan pembelian 4 juta saham dan waran dalam syarikat tersenarai awam pada 2015-2016 menggunakan akaun dagangan beliau.

Fahmi berkata, rumusan SC semalam tidak menjelaskan beberapa isu penting.

“Kita tidak tahu sama ada adik Azam sudah beri keterangan atau tidak atau dokumen berkaitan telah dirujuk. Siasatan secara dalaman dan kesimpulan awal oleh SC bukan menyelesaikan masalah, malah merumitkan keadaan kerana agensi kerajaan itu sedang berperang dengan persepsi buruk masyarakat,” katanya.

“Rumusan SC itu berkemungkinan dapatan daripada bukti awal yang diterima daripada sidang media oleh SPRM sebelum ini atau mungkin maklumat diterima secara tidak formal.”

Katanya, siasatan yang lengkap akan membolehkan pegawai penyiasat merakam keterangan saksi dan mendapatkan dokumen berkaitan sebagai pembuktian.

“Keputusan akhir sama ada kes itu digugurkan atau tidak hanya boleh dibuat oleh Peguam Negara.”

Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) menyatakan semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan; dan semua urus niaga sekuriti hanya boleh dilakukan pemilik manfaat sekuriti atau penama dibenarkan.

Semalam, Azam berkata beliau bersyukur dengan dapatan SC dan menambah suruhanjaya itu memaklumkan bahawa siasatan terhadap perkara itu “telah dimuktamadkan”.

“Oleh yang demikian, pihak suruhanjaya telah menutup fail inkuiri tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Azam menganggap keputusan SC itu sebagai “mendapati tiada kesalahan dilakukan oleh saya”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.