76 pelajar positif Covid-19, kolej vokasional di Melaka tutup 8 hari

76 pelajar positif Covid-19, kolej vokasional di Melaka tutup 8 hari

Arahan itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri berkuat kuasa 14 Jan hingga Jumaat ini bagi mengawal penularan.

Arahan penutupan sebuah kolej vokasional di Melaka dibuat serta-merta kerana diisytiharkan sebagai lokasi kluster Jalan Tun Telani oleh Kementerian Kesihatan kelmarin.
PETALING JAYA:
Sebuah kolej vokasional di Melaka diarah tutup lapan hari selepas 76 pelajar dikesan positif Covid-19.

Arahan itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) berkuat kuasa 14 Jan hingga Jumaat ini bagi mengawal penularan.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kes indeks pertama dikesan membabitkan seorang pelajar perempuan sebelum saringan kontak rapat dibuat hingga kelmarin.

Katanya, saringan itu dilakukan membabitkan 176 individu dan hasilnya 76 didapati positif.

“Daripada jumlah positif itu, 71 adalah pelajar lelaki manakala bakinya membabitkan pelajar perempuan manakala tiga lagi masih menunggu keputusan.

“Penularan kes disyaki berlaku kerana kes bergejala masih hadir ke kelas sebelum merebak kepada rakan lain,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, berdasarkan penilaian risiko, didapati ada ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat berisiko seperti bilik asrama dan masalah “gate keeping”.

“Meskipun ia masih dalam siasatan, kita tidak menolak kemungkinan pelajar mendapat jangkitan daripada ketidakpatuhan SOP di kolej.

“Arahan penutupan dibuat serta-merta kerana jumlah yang tinggi selain turut diisytiharkan sebagai kluster Jalan Tun Telani oleh Kementerian Kesihatan kelmarin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.