
SC hari ini, berkata ia tidak dapat menemui kepastian muktamad bahawa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, melanggar undang-undang berhubung isu pemilikan saham.
Mengulas perkara itu, Kadir berkata kenyataan SC itu membangkitkan beberapa persoalan penting.
“Konklusif atau tidak hasil siasatan SC ke atas Azam bukanlah isu pokok. Isu pokoknya ialah Azam sendiri tidak menafikan pemilikan saham yang dipersoalkan itu. Cuma dia mendakwa adiknya, Nasir, ‘menggunakan’ akaun CDS miliknya untuk berniaga.
“Takkanlah SC, dengan berpengerusikan Syed Zaid Albar dan ahli-ahli lembaga yang pakar dalam hal urus niaga sekuriti, tak boleh beritahu kita sama ada betul atau salah perbuatan pinjam-meminjam CDS ini?” katanya di Facebook.
Tambahnya, Ketua Setiausaha Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam juga boleh menyiasat Azam dari aspek tatatertib.
Sementara itu, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo berkata, keputusan SC itu menunjukkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mesti bermesyuarat segera.
Beliau turut mencadangkan SC membantu dan menjelaskan pendiriannya dalam mesyuarat itu, dengan menambah penjelasan diberikan suruhanjaya itu tidak mencukupi.
“SC mesti menjelaskan siapa yang dipanggil untuk membantu dalam inkuiri itu, apa yang didedahkan dalam inkuiri berkenaan, (dan) apa kesan bukti dikemukakan dari segi undang-undang,” katanya dalam hantaran di Facebook.
SC pada 6 Jan lalu, berkata akan menghubungi Azam untuk mendapatkan penjelasan, susulan pendedahan bahawa adiknya menggunakan akaunnya untuk berdagang saham.
Menurut SC, akaun sekuriti dibuka menggunakan depositori pusat mestilah dalam nama pemilik benefisiari sekuriti yang didepositkan.
Lima hari kemudian, SPRM mengesahkan menerima aduan salah laku dan rasuah melibatkan individu tertentu dalam pengurusan serta lembaga pengarah SC.
Azam terpalit dengan isu pemilikan saham korporat baru-baru ini, namun menegaskan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan. Katanya, adiknya telah menggunakan akaunnya untuk membeli saham dan waran syarikat tersenarai awam pada 2015 dan 2016.
Susulan itu, ramai yang mendesak Azam meletak jawatan, namun beliau berkata hanya Yang di-Pertuan Agong layak menamatkan tugasnya.