
Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, kluster membabitkan pelajar terbabit diisytihar sebagai kluster Embi Telipot pada 14 Jan lalu.
“Berdasarkan siasatan, seramai 256 kontak rapat dikenal pasti setakat ini. Semua kontak rapat diarahkan menjalani kuarantin selain dinasihatkan menjalani saringan sekiranya mengalami gejala dalam tempoh itu.
“Sehingga semalam, seramai 44 pelajar dikesan positif Covid-19 dan mereka membabitkan pelajar asrama sekolah itu,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Zaini berkata, Pejabat Kesihatan Kota Bharu mencadangkan proses pengajaran dan pembelajaran bersemuka sekolah itu ditangguhkan bermula hari ini hingga 25 Jan.
Mengulas khabar angin tular kononnya kes berpunca daripada seorang pelajar yang ibu bapanya baharu pulang dari umrah dan disahkan dijangkiti varian Omicron, Zaini berkata, dakwaan itu tidak benar.
Katanya, belum ada keputusan membabitkan varian Omicron bagi sampel ibu bapa pelajar berkenaan namun siasatan lanjut bagi mengesan punca kes Covid-19 di sekolah itu sedang dilakukan.
“Orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan mesej tidak benar kerana boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat,” katanya.