Mati dalam tahanan: Tak adil biar tertuduh meringkuk dalam lokap, kata aktivis

Mati dalam tahanan: Tak adil biar tertuduh meringkuk dalam lokap, kata aktivis

Charles Hector berkata tertuduh berusia 63 tahun yang mati dalam lokap itu sepatutnya ditempatkan di penjara.

Kira-kira 25.8% atau 13,000 orang yang menunggu dibicarakan kini ditahan di dalam penjara, kata aktivis Charles Hector. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa mesti menjelaskan kenapa seorang tertuduh berusia 63 tahun yang meninggal dunia minggu lalu, ditahan dalam lokap polis ketika menunggu sebutan kesnya, kata pertubuhan hak asasi manusia.

Charles Hector dari Malaysians Against Death Penalty and Torture berkata, penahanan seorang tertuduh di dalam lokap adalah satu pelanggaran prosedur. Katanya, lelaki itu yang menunggu kesnya selesai dibicarakan, sepatutnya dihantar semula “ke tempat tahanan di kompleks penjara, berkemungkinan di Penjara Taiping”, dan bukannya dibiarkan dalam lokap polis.

Menurut laporan sebelum ini, lelaki itu tahanan tumpang dari Penjara Taiping yang ditempatkan di lokap berkenaan selepas sebutan pertama kes pada 11 Jan, sementara menanti sebutan seterusnya pada 14 Jan.

Hector berkata, lokap polis hanya untuk menahan suspek yang direman bagi tujuan siasatan.

Beliau menggesa kerajaan membayar pampasan kepada tahanan yang dibiarkan dalam penjara selama bertahun-tahun sementara menantikan perbicaraan selesai, dan kemudian didapati tidak bersalah.

“Ketakadilan berlaku apabila tahanan ini kemudian didapati tidak bersalah. Malaysia buat masa ini masih tidak memberi pampasan kepada mereka yang tidak bersalah bagi jumlah tahun yang mereka hilang kebebasan mereka,” katanya.

Kira-kira 25.8% tahanan dalam penjara, iaitu 13,000 orang, kini menanti perbicaraan mereka selesai, katanya.

Beliau turut menggesa inkues diadakan segera bagi semua kes kematian dalam tahanan.

Polis persekutuan berkata, dua anggota polis dan dua banduan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping telah ditangkap berkaitan kematian lelaki berusia 63 tahun itu. Mereka direman sehingga 20 Jan.

Parlimen baru-baru ini diberitahu sebanyak 79 kematian dalam tahanan polis berlaku dari Januari 2015 hingga September 2021.

Hector berkata, hanya 20 inkues telah dilakukan, 17 kes masih di pejabat Pendakwa Raya, 12 masih disiasat manakala 30 diklasifikasikan ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.