Lagi kematian dalam tahanan, kali ini di Kota Bharu

Lagi kematian dalam tahanan, kali ini di Kota Bharu

Kes membabitkan seorang lelaki berusia 37 tahun yang ditahan bersabit Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bukit Aman dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian berlaku di Balai Polis Pengkalan Chepa pada 4.35 petang semalam.
PETALING JAYA:
Polis melaporkan satu lagi kematian dalam tahanan, kali ini di Kota Bharu, Kelantan, beberapa sehari selepas kejadian lelaki mati di lokap Taiping.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Azri Ahmad dalam satu kenyataan berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan yang berlaku di Balai Polis Pengkalan Chepa pada 4.35 petang semalam.

Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan berkait Akta Dadah Berbahaya 1952 dan direman selama empat hari bermula 16 hingga 19 Januari.

“Orang kena tahan (OKT) adalah seorang lelaki berumur 37 tahun telah ditangkap di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. OKT telah direman selama empat hari mulai 16 Jan hingga 19 Jan di Mahkamah Kota Bharu, Kelantan.

“Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS akan menjalankan siasatan berkaitan kes ini,” katanya dalam kenyataan.

Khamis lalu, FMT melaporkan Bukit Aman mengesahkan seorang OKT meninggal dunia di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, Perak.

Azri berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kematian lelaki berusia 63 tahun itu pada 11 pagi.

“OKT itu merupakan tahanan tumpang dari Penjara Taiping yang telah dituduh pada 18 April 2021 di bawah Seksyen 379A dan 324 Kanun Keseksaan.

“OKT telah ditempatkan di lokap IPD Taiping selepas sebutan pertama kes pada 11 Jan sementara menanti sebutan seterusnya pada 14 Jan,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.