
“Baki pesakit yang tidak dapat menerima rawatan awal di kemudahan awam perlu dipindahkan ke hospital swasta dengan bayaran balik yang munasabah seperti yang dilakukan tahun lalu,” kata Presiden APHM Dr Kuljit Singh.
“Ini akan membantu menyelesaikan kes tertunggak dengan lebih cepat kerana ia tidak realistik untuk hospital kerajaan melakukannya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Dengan menyebut bahawa hospital swasta mempunyai perunding, pakar dan jururawat yang cekap sama seperti di hospital kerajaan, Kuljit berkata, lebih 95% pakar di hospital swasta di negara ini dilatih dan pernah bertugas di hospital kerajaan sebelum ini.
“Di sesetengah tempat di negara ini, terdapat lebih banyak hospital swasta berbanding kerajaan. Walaupun jumlah katilnya mungkin sedikit tetapi kemudahan pemeriksaan dan rawatan boleh disediakan berdasarkan kapasiti dan keupayaan hospital swasta itu,” katanya.
Sabtu lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, kementerian berharap dapat menyelesaikan kes pembedahan dan prosedur perubatan tertunggak di hospital kerajaan tahun ini selepas rawatan kritikal terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.
Kuljit berkata, hospital swasta telah membantu mengurangkan ribuan pesakit bukan Covid-19 ketika kemuncak pandemik tahun lalu, apabila perkhidmatan penjagaan kesihatan diperluaskan ke tahap maksimum bagi menangani varian Delta.
Katanya, proses ini dilakukan dengan “sangat lancar” di seluruh Lembah Kelang’, Johor dan Pulau Pinang.
Beliau berkata, hospital swasta menyokong cadangan Khairy untuk memperbaharui sistem pembiayaan penjagaan kesihatan yang dikatakan “sudah lama tertangguh”.
Menurutnya, mereka gembira untuk bekerjasama dengan kementerian dan mengambil bahagian dalam Suruhanjaya Pembaharuan Kesihatan apabila ia diluluskan oleh Parlimen dengan berkata, langkah awal merawat pesakit tajaan kerajaan di hospital swasta harus menjadi sebahagian daripada “blok binaan” dasar baharu penjagaan kesihatan untuk masa hadapan.