
Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, pemberian dos penggalak secara walk-in di pusat pemberian vaksin (PPV) integrasi akan bermula di Lembah Klang pada 19 Jan ini.
“PPV integrasi di Lembah Klang yang akan terlibat dalam pemberian dos penggalak kepada warga emas membabitkan PPV World Trade Centre Kuala Lumpur, Axiata Arena, Bukit Jalil, Ideal Convention Centre, Shah Alam dan Soka Gakkai, Klang.
“PPV ‘Offsite’ di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak akan mula memberikan vaksinasi dos penggalak secara walk-in kepada warga emas mulai 24 Jan,” kata KKM dalam kenyataan.
KKM berkata, senarai lengkap PPV Offsite yang terlibat akan diumumkan oleh ProtectHealth Corporation.
Katanya, warga emas yang ingin hadir secara walk-in perlu mempunyai sijil vaksinasi digital yang lengkap di dalam MySejahtera bagi melancarkan proses vaksinasi.
Dalam perkembangan sama, KKM memaklumkan, buat masa ini temujanji di PPV integrasi di Lembah Klang diberikan kepada individu yang telah menerima dos lengkap AstraZeneca atau Sinovac untuk diberikan dos penggalak vaksin AstraZeneca.
“Bermula 19 Jan, vaksin Pfizer juga akan dibekalkan di PPV tersebut khususnya bagi individu tertentu seperti ibu hamil yang telah menerima temujanji atau individu yang mempunyai kontraindikasi terhadap vaksin AstraZeneca,” katanya.
KKM berkata, sebanyak 9,364,326 atau 40% populasi berumur 18 tahun dan ke atas telah menerima dos penggalak menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan – Booster (PICK-B) telah bermula pada 13 Okt 2021 sehingga semalam.
Katanya, liputan vaksinasi dos penggalak bagi warga emas berumur 60 tahun dan ke atas di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak pula mencapai lebih 70%.
Sebelum ini, media melaporkan orang ramai terpaksa berbaris panjang di luar sebuah pusat vaksinasi di untuk mendapatkan dos penggalak Covid-19 dan kebanyakannya adalah warga emas yang terpaksa menunggu sekurang-kurangnya sejam di tepi jalan.