
Bagaimanapun Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching bertanya sama ada kerajaan persekutuan akan menawarkan bantuan serupa kepada individu tidak bernegara lain yang telah lama menderita di negara ini.
Dalam kenyataan beliau berkata, seperti Rohana Abdullah, 22, terdapat ramai lagi anak-anak tidak bernegara yang melalui “pengalaman tragis dan traumatik yang hampir serupa” dalam proses mendapatkan kewarganegaraan.
Situasi sukar yang dihadapi Rohana menarik perhatian ramai selepas ia dilaporkan oleh media.

Teo berkata, jika Ismail dan Hamzah serius untuk menamatkan penderitaan golongan tidak bernegara, maka mereka harus mengakui wujudnya jurang dasar dalam isu kewarganegaraan.
Teo, yang juga bekas Timbalan Menteri Pendidikan berkata, beliau sebelum ini mencadangkan agar anak-anak tidak bernegara, yang bapanya adalah rakyat Malaysia, diberi kewarganegaraan dengan mengemukakan laporan ujian DNA.
Beliau turut mencadangkan bahawa semua anak tidak bernegara yang diambil sebagai anak angkat oleh rakyat Malaysia harus diberi kewarganegaraan.
“Bolehkah semua individu tidak bernegara mempercayai kerajaan Keluarga Malaysia untuk mencari penyelesaian kekal bagi menamatkan kesengsaraan mereka?
“Atau adakah mereka perlu menunggu masa lama untuk mendapat pendedahan media sebelum menerima jaminan daripada Perdana Menteri atau Menteri Dalam Negeri?” soalnya.
Dalam kenyataan berasingan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang Kumaresan Arumugam berkata, sebagai penyelaras Biro Kewarganegaraan PKR, beliau menangani banyak kes membabitkan anak-anak tidak bernegara.
Katanya, Perkara 15(A) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan untuk memberikan kewarganegaraan kepada anak-anak tidak bernegara ini.