
“Saya berasa tersentuh apabila dimaklumkan berhubung perkara ini pada minggu lalu dan telah mengarahkan pegawai saya untuk menyiasat kesahihan maklumat yang diberikan terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan,” tulis Hamzah di Facebooknya.
Media sebelum ini melaporkan kisah Rohana yang diabaikan ibu kandungnya, seorang warga Indonesia, di sebuah tadika di mana ibu angkatnya, Chee Hoi Lan bekerja.
Walaupun masih bujang, Chee berbesar hati memikul tugas membesarkan Rohana, demi memastikan beliau mendapat didikan agama yang betul.
Rohana berkata, beliau memohon kewarganegaraan sejak 2016, tetapi tidak mendapat sebarang respons sehingga kini.
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dalam mengalu-alukan langkah itu berkata, kerajaan tidak patut meneliti permohonan kewarganegaraan berdasarkan kes berasingan kerana ada ramai lagi individu tanpa kerakyatan yang berdepan nasib sama.
“Kerajaan harus mengkaji semula undang-undang dan dasar membabitkan kerakyatan. Ada banyak lagi kes sama. Dalam semua kes kerakyatan ini, kanak-kanak terbabit tidak berdosa,” tulis Yeoh di Twitter.
Masalah tunggakan banyak permohonan kewarganegaraan oleh individu tanpa kerakyatan yang lahir di negara ini menjadi tumpuan selepas satu keputusan mahkamah yang memihak kepada mereka baru-baru ini.
Beberapa ibu dan NGO Family Frontiers memfailkan saman untuk mengisytiharkan beberapa peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan tidak sah kerana mendiskriminasi wanita.
Mahkamah Tinggi memutuskan kanak-kanak yang dilahirkan wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan orang asing berhak mendapat kerakyatan negara ini.
Selepas beberapa ibu itu menang kes mereka di Mahkamah Tinggi tahun lalu, kerajaan memfailkan rayuan terhadap penghakiman berkenaan.