Kelantan terima RM400 juta hasil petroleum sejak 2 tahun lalu, kata Tengku Zafrul

Kelantan terima RM400 juta hasil petroleum sejak 2 tahun lalu, kata Tengku Zafrul

Menteri Kewangan berkata pemberian wang terbabit dibuat pada 2020 membabitkan RM200 juta, manakala RM200 juta lagi pada tahun lalu.

Pembayaran ini dibuat secara langsung dan 100% disalurkan kepada kerajaan negeri bergantung kepada harga semasa petroleum, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.
KOTA BHARU:
Kerajaan persekutuan telah menyalurkan RM400 juta wang hasil petroleum kepada kerajaan negeri Kelantan sejak dua tahun lalu.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, berkata pembayaran itu diberikan secara langsung kepada kerajaan negeri, berdasarkan 5% hasil petroleum negeri terbabit.

“Bagi tahun lalu kita salurkan RM200 juta dan tahun 2020 juga RM200 juta.

“Pembayaran ini dibuat secara langsung dan 100% disalurkan kepada kerajaan negeri bergantung kepada harga semasa petroleum,” katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat Bajet 2022 bersama penjawat awam negeri Kelantan di Kota Darulnaim, di sini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata jumlah pembayaran yang disalurkan ini meningkat berlipat kali ganda berbanding pada tahun 2019 dengan jumlah yang diberikan sebanyak RM28 juta.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob dan Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Abdullah.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah RM2.39 bilion pada tahun ini, meliputi 351 projek untuk pembangunan negeri Kelantan berbanding RM1.8 bilion dengan 340 projek tahun lalu.

Antara projek berkenaan termasuk pembinaan jambatan Palekbang membabitkan kos RM250 juta, projek mesra rakyat (RM102 juta) dan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) berjumlah RM483 juta.

“Peruntukan meningkat tahun ini berbanding tahun lalu disebabkan jumlah projek juga meningkat, yang mana projek pembangunan ini merangkumi projek lama dan baharu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.