Tindak balas vaksin Covid-19 bukan isyarat buruk, kata Noor Hisham

Tindak balas vaksin Covid-19 bukan isyarat buruk, kata Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata sesetengah jenis vaksin Covid-19 yang baharu mungkin beri kesan sampingan lain berbanding biasa.

Hisham berkata sekiranya kesan sampingan terhadap vaksin itu dapat difahami dengan baik, setiap penerima akan gembira sekiranya mengalami gejala sakit kepala atau kesan sampingan lain. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Setiap vaksin Covid-19 akan menghasilkan tindak balas seperti demam, sakit otot, atau pening kepala, dan gejala itu bukanlah isyarat yang tidak baik, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Malah, katanya, terdapat sesetengah jenis vaksin Covid-19 yang baharu berkemungkinan akan memberikan kesan sampingan lain daripada yang biasa dialami.

“Setiap vaksin mempunyai kesan sampingan seperti demam, sakit otot, atau sakit kepala dan beberapa vaksin Covid-19 yang baharu berkemungkinan memberikan ada kesan sampingan daripada yang biasa anda alami.

“Tetapi saintis yang bekerja rapat dengan pembangunan vaksin itu menekankan bahawa apabila vaksin membuat anda berasa sakit, ia sebenarnya bukan petanda buruk,” katanya menerusi hantaran bersama video kesan sampingan vaksin di Facebook.

Beliau berkata, sekiranya kesan sampingan terhadap vaksin itu dapat difahami dengan baik, setiap penerima akan gembira sekiranya mengalami gejala sakit kepala atau kesan sampingan lain.

Setakat 15 Jan, kira-kira 97.8% atau seramai 22,901,050 individu populasi dewasa di negara ini sudah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19, sementara 9,043,384 individu menerima dos penggalak.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan ramai enggan mengambil suntikan dos penggalak kerana bimbang kesan sampingan yang boleh membawa maut.

Ketua Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr Mohd Imran Yusof, berkata kurang keyakinan dan mendakwa vaksin dihasilkan dalam masa singkat turut menyumbang kepada penolakan itu.

Sementara itu, media antarabangsa pula melaporkan kesan sampingan seperti demam, kelesuan, pening kepala dan sakit di tempat suntikan vaksin Covid-19 menunjukkan sistem imun badan bertindak balas.

Naib Dekan Kesihatan Global Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock, Universiti Nasional Singapura (NUS), Hsu Li Yang, berkata ia kerap berlaku kepada golongan berusia 18 hingga 55 tahun berbanding individu lebih 56 tahun.

Dalam percubaan klinikal Pfizer, individu berusia 18 hingga 55 tahun dilapor mengalami kesan sampingan seperti demam, keletihan, sakit kepala dan di tempat suntikan lebih kerap berbanding mereka yang berumur 56 tahun ke atas.

Sementara itu, pakar penyakit berjangkit di Hospital Gleneagles, Dr Ling Li Min, berkata kesan sampingan seperti demam dan sengal-sengal adalah tanda baik bahawa tindak balas imun berfungsi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.