
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang Abd Razak Mohamed, berkata mayat Tony Liew, 48, dari Taman Alma Bukit Mertajam, ditemui dalam keadaan terapung pada 8.35 malam tadi.
Katanya, Maritim Malaysia menerusi Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Langkawi menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.20 petang.
“Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) diaktifkan dengan mengatur gerak bot Kilat 4 ke lokasi bagi melakukan pencarian.
“Rakan mangsa mendakwa cuba menghubungi mangsa namun gagal sebelum menemui kayak yang dinaiki mangsa dalam keadaan terbalik di perairan Batu Kawan, pada 6 petang, mangsa tidak ditemui,” katanya dalam kenyataan, menurut laporan Berita Harian.
Abd Razak berkata, Operasi Carilamat turut disertai Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Pasukan Polis Marin Batu Uban dan rakan mangsa yang turut berkayak di sekitar kawasan itu.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Batu Musang sebelum diserah kepada Balai Polis Batu Kawan bagi tindakan lanjut.