Indonesia tak lama lagi akan saingi Malaysia tarik pelabur, kata ahli ekonomi

Indonesia tak lama lagi akan saingi Malaysia tarik pelabur, kata ahli ekonomi

Menurut ahli ekonomi, Indonesia pantas mengejar Malaysia disebabkan tindak balasnya terhadap wabak Covid-19 yang progresif dan mesra perniagaan.

Indonesia sedang merebut peluang untuk memainkan peranan lebih besar dari segi ekonomi di peringkat serantau dan global semasa wabak, kata seorang ahli ekonomi. (Gambar Pexels)
PETALING JAYA:
Seorang pakar ekonomi memberi amaran bahawa Malaysia semakin kehilangan kelebihan berbanding Indonesia dalam persaingan bagi mendapatkan pelaburan asing.

Carmelo Ferlito daripada Pusat Pendidikan Pasaran berkata, haluan kedua-dua negara nampaknya hampir bertemu, dengan Indonesia pantas mengejar Malaysia disebabkan tindak balasnya terhadap wabak Covid-19 yang progresif dan mesra perniagaan.

Malaysia telah lama dilihat sebagai negara yang lebih mesra perniagaan didorong oleh dasar yang menarik syarikat asing menubuhkan operasi tempatan tetapi Ferlito berkata, ini boleh berubah ketika dunia sedang menyesuaikan diri dengan persekitaran pascawabak.

Beliau berkata, Malaysia menjadi hab perniagaan yang menarik sejak beberapa dekad lalu atas beberapa sebab.

Carmelo Ferlito.

“Terdapat kestabilan politik dan pengawalseliaan perniagaan yang positif, pengaturan yang baik bagi ekspatriat dan pekerja asing berkemahiran rendah, keseimbangan yang baik antara kos buruh dan tahap kemahiran serta infrastruktur yang kukuh.

“Ini menjadikan Malaysia menarik bagi semua perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya kepada FMT.

“Sebaliknya Indonesia, walaupun menawarkan buruh murah dan pasaran domestik yang besar mempunyai rangka kerja kurang mesra perniagaan yang hanya menarik pelabur besar.”

Bagaimanapun katanya, tindak balas kedua-dua negara terhadap Covid-19 boleh membawa perubahan dalam dinamika itu. Ketika Malaysia melaksanakan strategi sifar kes sejak awal, Indonesia menyedari keperluan untuk memelihara mata pencarian dan mengelak sekatan yang berulang.

Selain itu, sementara sebilangan pihak di negara ini mencetuskan sentimen nasionalistik dengan menjadikan pekerja asing kambing hitam semasa wabak, kerajaan Indonesia lebih agresif dalam mewujudkan persekitaran yang lebih menarik walaupun dengan mengorbankan popularitinya disebabkan undang-undang penciptaan pekerjaan omnibus yang menimbulkan kontroversi.

Undang-undang ini menghapuskan peraturan perlindungan pekerja dan alam sekitar tertentu bagi memudahkan perniagaan pelabur.

“Daya tarikan Malaysia akan berkurangan sedikit manakala Indonesia melonjak ke hadapan. Malaysia kemudiannya akan memainkan peranan menarik pelaburan yang lebih kecil.”

Beliau berkata, dasar Malaysia menunjukkan ia berpuas hati dengan hasil pelaburan semasanya seperti yang ditunjukkan dalam sikap selektif terhadap tenaga kerja asing yang dibenarkan masuk di semua peringkat.

“Indonesia bagaimanapun kelihatan menyedari bahawa kini adalah detik bersejarah untuk merebut peluang memainkan peranan lebih besar dari segi ekonomi di peringkat serantau dan global,” tambahnya.

Namun katanya, “permainan belum berakhir” dan menyebut bahawa strategi semasa di Malaysia yang bermatlamat untuk hidup dengan virus itu menunjukkan pendekatan lebih positif terhadap Covid-19 dari segi ekonomi.

“2022 akan menjadi penting bagi Malaysia, yang perlu mengambil langkah tepat dalam permainan daya saing,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.