Keputusan PM sama ada Azam kekal ketuai SPRM, kata peguam

Keputusan PM sama ada Azam kekal ketuai SPRM, kata peguam

Pelantikan atau pelucutan jawatan ketua SPRM mesti dibuat Agong atas nasihat Perdana Menteri, kata Muhammad Rafique Rashid Ali.

Pada sidang media khas minggu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menafikan sebarang salah laku dan berkata, adiknya menggunakan akaun dagangan sahamnya.
PETALING JAYA:
Keputusan sama ada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki mengekalkan jawatannya terletak pada Perdana Menteri, kata seorang peguam.

Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, menurut Seksyen 5(1) Akta SPRM, Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri, melantik Ketua Pesuruhjaya agensi antirasuah itu.

“Sebagai raja berperlembagaan, Agong mesti melantik atau melucutkan jawatan ketua SPRM atas nasihat Perdana Menteri,” katanya kepada FMT.

Rafique berkata demikian sebagai respons kepada laporan Sinar Harian semalam yang memetik Azam sebagai berkata bahawa hanya Agong yang boleh meminta beliau meletak jawatan.

Muhammad Rafique Rashid Ali.

“Ketua (Pesuruhjaya) SPRM tersilap mengenai pelantikannya bawah undang-undang bertulis (Akta SPRM dan Perlembagaan Persekutuan),” katanya.

Beliau berkata, Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Agong, dalam menjalankan fungsinya, mesti bertindak berdasarkan nasihat Jemaah Menteri atau menteri.

Malah pelantikan Peguam Negara katanya, sama ada melibatkan penjawat awam atau pegawai kontrak, adalah berdasarkan nasihat Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan bawah Perkara 145(1).

“Beliau juga boleh dilucutkan jawatan oleh Agong atas nasihat Perdana Menteri,” katanya, memetik kes bekas Peguam Negara Mohamed Apandi Ali.

Terdapat gesaan daripada segelintir pihak supaya Azam meletak jawatan berikutan dakwaan yang timbul baru-baru ini mengenai pemilikan sahamnya dalam syarikat senaraian awam.

Bagaimanapun, pada sidang media khas minggu lalu, Azam menafikan sebarang salah laku dan berkata, adiknya menggunakan akaun dagangannya untuk memperoleh saham tersebut.

Kes itu kini disiasat oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.