
Ketua Polis Negeri Sembilan, Mohamad Mat Yusop berkata, dakwaan itu adalah fitnah dan polis sedang mengesan pemilik akaun itu untuk tindakan lanjut dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah.
“Saya menafikan dakwaan itu kerana polis telah menyerahkan siasatan kes berhubung kehilangan barang kes wang tunai kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Mohamad berkata, hasil siasatan sebelum ini mendapati kehilangan wang tunai itu pada mulanya berpunca daripada tangkapan kes penyeludupan rokok oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada Mei 2020.
Akan tetapi katanya, kes itu diserahkan kepada SPRM untuk siasatan lanjut, dengan enam anggota polis dipanggil untuk memberi keterangan kepada agensi antirasuah itu.
“Kes ini telah selesai, kenapa perlu timbulkan lagi, ini merupakan satu fitnah,” katanya.
Rabu lalu, akaun Twitter menggunakan nama “Edisi Khas” berkongsi satu laporan polis dibuat oleh seorang lelaki bertarikh 5 Mei 2020 berhubung kehilangan wang tunai lebih RM600,000 miliknya ketika ditahan di IPD Seremban.
Hantaran di Twitter itu menulis “@PDRM N/Sembilan bersaing dengan @SPRMMalaysia siapa lagi besar curi wang barang kes dan pemenangnya adalah SPRM yang berjaya sapu RM25 juta, manakala polis N/Sembilan hanya sapu RM600 ribu ringgit. Ha3”.