PSC akan bentang hasil mesyuarat pemilikan saham Azam Baki di Dewan Rakyat

PSC akan bentang hasil mesyuarat pemilikan saham Azam Baki di Dewan Rakyat

Jawatankuasa Pilihan Khas akan membincangkan isu pemilikan saham membabitkan Azam Baki Rabu depan.

Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas, William Leong berkata, syor berkaitan isu pemilikan saham Azam Baki itu hanya boleh dibuat selepas inkuiri dilakukan.
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) akan membentangkan hasil mesyuarat bagi membincangkan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, di Dewan Rakyat.

Ahli PSC, William Leong berkata syor berkaitan isu pemilikan saham itu hanya boleh dibuat selepas inkuiri dilakukan.

“Laporan jawatankuasa dibentang di Dewan Rakyat kepada semua ahli Parlimen dan rakyat boleh mendapat maklumat daripada laporan berkenaan,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin dalam pekeliling bertarikh 11 Jan lalu kepada sembilan Ahli Parlimen yang menganggotai PSC itu memaklumkan mesyuarat berkenaan akan diadakan di Parlimen pada 2 petang Rabu depan.

Katanya, mesyuarat pertama PSC itu untuk tahun ini bertujuan membincangkan isu pemilikan saham syarikat oleh Azam.

PSC bagi Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu dipengerusikan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS).

Ia turut dianggotai Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman (Umno), Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria (Umno), Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau (GPS), Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS), Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong (DAP), Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin (DAP), Leong dan Ahli Parlimen Sepanggar, Mohd Azis Jamman (Warisan).

Pada 9 Jan lalu, Chan, Khoo, Azis dan Leong – mengeluarkan kenyataan bersama mempersoalkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang dilihat membela Azam.

Mereka mendakwa Wan Junaidi seolah-olah memperkecilkan skandal yang dikaitkan dengan Azam, apabila menyatakan nilai saham pada masa pembeliannya mampu dibeli ketua SPRM itu.

Menurut laporan tahunan 2015 Excel Force Bhd, Azam memiliki 2,156,000 saham dalam syarikat itu pada 21 Mac 2016. Pada masa itu, Azam adalah Ketua Bahagian Siasatan SPRM.

Sebelum ini, Azam menegaskan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung pemilikan lebih empat juta saham dan waran syarikat tersenarai menggunakan akaun dagangannya pada 2015-2016.

Beliau berkata, saham dan waran itu dibeli adiknya, Nasir dan perkara itu dimaklumkan kepada pihak atasan ketika itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.