Lelaki dicekup ‘kantoi’ rakam video dalam tandas wanita

Lelaki dicekup ‘kantoi’ rakam video dalam tandas wanita

Pekerja teknologi maklumat itu ditahan selepas laporan polis mengenai kejadian diterima dari ibu seorang remaja perempuan.

Menurut polis, suspek mengaku merakam video remaja berkenaan di dalam tandas sebuah pusat beli-belah di Bandar Utama, Petaling Jaya. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang pekerja teknologi maklumat selepas dipercayai merakam video seorang remaja perempuan di dalam tandas sebuah pusat beli-belah di Bandar Utama di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada ibu remaja itu.

Katanya, pengadu dimaklumkan anaknya berusia 14 tahun ternampak satu telefon bimbit diletakkan di tingkap antara tandas lelaki dan tandas wanita pada 6.45 petang semalam.

“Ketika remaja perempuan itu bertanyakan kepada seorang lelaki berusia 33 tahun sama ada dia merakamnya ketika berada di dalam tandas, lelaki terbabit terus bertindak melarikan diri sebelum dikejar wanita berkenaan bersama anak perempuannya.

“Lelaki terbabit menolak anak perempuan pengadu sehingga menyebabkannya terjatuh. Remaja perempuan itu kemudian mengambil telefon bimbit suspek dan membalingnya kepada ibunya,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Fakhrudin berkata, pengawal keselamatan pusat beli-belah itu kemudian datang dan menahan lelaki terbabit sebelum menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Pemeriksaan dilakukan pada telefon bimbit suspek mendapati lelaki berkenaan merakam video remaja perempuan itu yang berada dalam tandas,” katanya.

Beliau berkata, lelaki terbabit diserahkan kepada pihak polis pada 7.15 malam dan hasil soal siasat yang dilakukan suspek mengaku merakam video remaja berkenaan di tandas pusat beli-belah terbabit dan semua rakaman berkenaan masih disimpan di dalam telefon bimbitnya.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.