5 individu sedia tampil bantu siasatan kes sijil vaksinasi palsu, kata KP Terengganu

5 individu sedia tampil bantu siasatan kes sijil vaksinasi palsu, kata KP Terengganu

Kelima-lima saksi awam itu bersetuju menjadi saksi selepas mengaku tidak divaksin namun mendapat kad vaksin bagi suntikan dos pertama.

Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa berkata, siasatan polis setakat ini berjalan lancar, namun kerjasama daripada orang awam terutama mereka yang memperoleh sijil vaksinasi tanpa suntikan sangat diperlukan. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Beberapa individu yang mempunyai maklumat mengenai penjualan sijil vaksinasi Covid-19 palsu di Terengganu bersedia tampil sebagai saksi bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa berkata, siasatan polis setakat ini berjalan lancar, namun kerjasama daripada orang awam terutama mereka yang memperoleh sijil tersebut tanpa suntikan sangat diperlukan.

“Buat masa ini terdapat lima saksi awam bersetuju untuk menjadi saksi. Mereka mengaku tidak divaksin tapi telah mendapat kad vaksin untuk suntikan dos pertama.

“Pihak polis juga akan meneruskan siasatan… barang kes seperti komputer riba dan telefon bimbit akan dihantar ke forensik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman esok,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini.

Beliau berkata, suspek utama kes, iaitu doktor sebuah klinik swasta di Marang masih direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

Sabtu lalu, doktor lelaki berusia 51 tahun yang mendakwa dirinya antivaksin ditahan oleh polis selepas disyaki menjual sijil suntikan vaksin Covid-19 dengan kadar bayaran antara RM400 dan RM600.

Pada majlis hari ini, Wan Rukman Wan Hassan, yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Terengganu yang baharu, menerima serahan tugas daripada Norhalid Kimi yang bersara wajib.

Wan Rukman sebelum ini bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Dasar Sumber Manusia) Pembangunan Kerjaya Jabatan Pengurusan di Bukit Aman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.