Ketua Pemuda PKR dipanggil berkait konvoi protes ketua SPRM

Ketua Pemuda PKR dipanggil berkait konvoi protes ketua SPRM

Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir berkata, mereka disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Kira-kira 50 ahli Pemuda PKR menyertai konvoi bantahan semalam untuk mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berundur dan siasatan bebas dijalankan terhadapnya.
PETALING JAYA:
Beberapa pemimpin Pemuda PKR dipanggil polis berhubung konvoi yang disertai mereka semalam untuk membantah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.

Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir berkata, beliau diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya esok untuk disoal siasat.

Turut dipanggil ialah Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran, Naib Ketua Pemuda PKR S Thiban dan Setiausahanya, Syukri Razab.

Akmal dalam kenyataan berkata, mereka disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Sementara kami akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis, intimidasi terhadap pemberi maklumat mahupun kumpulan pendesak perlu dihentikan segera dan sebaliknya Azam perlu dicutihkan untuk siasatan rapi dijalankan.”

Akmal berkata, Pemuda PKR akan meneruskan desakan sehingga perkara itu ditangani dengan lebih serius oleh kerajaan dan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, sayap Pemuda PKR akan menyerahkan “memorandum rakyat” di hadapan bangunan Parlimen ketika sidang khas Dewan Rakyat selama sehari pada 20 Jan ini.

Kira-kira 50 ahli Pemuda PKR menyertai konvoi semalam sebagai bantahan terhadap Azam, yang terpalit dalam kontroversi berhubung pemilikan saham korporat, serta menyerahkan satu memorandum setiba mereka di Ibu Pejabat SPRM.

Sayap itu mahu Azam meletak jawatan dan siasatan yang bebas dan terbuka dijalankan terhadap isu itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.