Tiada vaksin Covid-19 tamat tempoh dibekalkan kepada PPV, kata KKM

Tiada vaksin Covid-19 tamat tempoh dibekalkan kepada PPV, kata KKM

KKM sentiasa memantau bekalan dan tarikh luput semua vaksin menerusi Sistem Pengurusan Vaksin dan sistem inventori di fasiliti yang terlibat dengan PICK.

KKM menafikan dakwaan di media sosial bahawa vaksin Covid-19 hampir atau telah tamat tempoh diberikan kepada penerima.
PETALING JAYA:
Tiada vaksin tamat tempoh dibekalkan ke pusat penyimpanan vaksin dan pusat pemberian vaksin (PPV), kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Norhaliza A Halim berkata, KKM sentiasa memantau bekalan dan tarikh luput semua vaksin Covid-19.

Ini dilakukan melalui Sistem Pengurusan Vaksin (VMS), selain sistem inventori sedia ada yang terdapat di fasiliti yang terlibat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“KKM ingin merujuk kepada beberapa muat naik dan video yang telah ditularkan di media sosial berkenaan dakwaan vaksin Covid-19 yang diberikan kepada penerima telah atau hampir luput.

“Namun demikian, sesetengah dakwaan tidak dapat disiasat dengan sewajarnya kerana maklumat lokasi dan tarikh kejadian serta maklumat produk yang terlibat tidak dinyatakan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah meluluskan permohonan untuk melanjutkan jangka hayat vaksin Pfizer daripada enam bulan kepada sembilan bulan, Sinovac buatan China daripada sembilan bulan kepada 12 bulan, dan vaksin buatan Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd daripada enam bulan kepada 12 bulan.

Senarai nombor kelompok yang terlibat dengan pelanjutan jangka hayat vaksin telah dimaklumkan kepada semua fasiliti kesihatan, tambahnya.

“KKM sentiasa komited untuk memastikan semua produk farmaseutikal, termasuk vaksin Covid-19 yang dibekalkan kepada penduduk Malaysia telah dinilai dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh NPRA dan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

“Penilaian manfaat-risiko bagi vaksin Covid-19 yang diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat dilaksanakan secara berterusan berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata, penentuan jangka hayat produk farmaseutikal, termasuk vaksin Covid-19, ditetapkan berdasarkan ujian kestabilan produk yang dijalankan oleh pihak pengilang.

Pihak pengilang hanya dibenarkan meletakkan tarikh luput berdasarkan tempoh kestabilan vaksin itu yang diuji pada masa nyata, bukan secara ekstrapolasi.

“Sekiranya pihak pengilang mempunyai data tambahan setelah ujian lanjut dijalankan, permohonan pelanjutan jangka hayat vaksin akan dikemukakan kepada NPRA untuk dinilai.

“Pelanjutan tempoh jangka hayat produk vaksin tersebut hanya akan diluluskan setelah hasil penilaian dapat mengesahkan ia memenuhi keperluan regulatori. Malah, ini juga terpakai kepada semua produk farmaseutikal lain yang sedia berdaftar,” katanya.

Tambahnya, tempoh jangka hayat produk vaksin Covid-19 juga akan berubah jika terdapat perubahan kepada suhu penyimpanan.

“Oleh yang demikian, tarikh luput baharu akan diberikan kepada produk tersebut. Produk masih selamat untuk diadministrasi selagi mana ia belum melangkaui tarikh luput baharu tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.