Tanpa sekutu, prospek PBM dilihat kelam

Tanpa sekutu, prospek PBM dilihat kelam

Tiada satu pun daripada tiga gabungan besar sedia ada berkemungkinan mengalu-alukan parti diterajui Larry Sng itu, kata penganalisis politik.

Menurut penganalisis politik, hasrat PBM yang diterajui Larry Sng untuk menyertai BN adalah ‘langkah terdesak’.
PETALING JAYA:
Parti Bangsa Malaysia (PBM), yang diterajui sebahagian besarnya oleh bekas tokoh PKR, akan berdepan kesukaran dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang kerana tiada satu pun daripada tiga gabungan politik besar sedia ada berkemungkinan mengalu-alukan mereka, kata penganalisis.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, hasrat PBM untuk menyertai Barisan Nasional (BN) seperti yang dilaporkan adalah “langkah terdesak” kumpulan yang dikaitkan dengan bekas pemimpin PKR, Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin.

Presiden PBM Larry Sng berkata, ia adalah usul daripada perwakilan dan pemimpin parti itu masih belum memutuskan perkara ini.

Bagaimanapun Ahmad Fauzi berkata, bekas ahli PKR bukan Melayu yang menyertai Bersatu bersama-sama rakan seperjuangan berbangsa Melayu berdepan dilema kerana Bersatu berpaksikan orang Melayu dan tidak mementingkan kepelbagaian kaum dalam konteks politik dalaman parti.

Semalam, ADUN Paul Yong dan A Sivasubramaniam dilaporkan meninggalkan Bersatu, tonggak Perikatan Nasional (PN), dan menyertai PBM.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid.

Ahmad Fauzi berkata, BN tidak memerlukan PBM, malah langkah menerimanya akan membawa masalah baharu kepada gabungan itu kerana ini akan mengorbankan Umno, MCA dan MIC.

“Setelah memenangi kerusi mereka (dalam PRU 2018) atas tiket Pakatan Harapan-PKR dan platform anti-BN, PBM akan kehilangan kredibiliti jika menyertai BN yang tidak mempunyai etos reformis,” katanya.

“Apa sahaja perubahan positif yang kita lihat dalam pentadbiran BN-PN sekarang adalah disebabkan oleh keadaan politik berikutan kekalahan mengejut BN pada 2018.”

Ahmad Fauzi berkata, parti teras PN, iaitu Bersatu dan PAS, kurang berkemungkinan untuk menerima PBM kerana ia terdiri daripada “anggota PKR dan Bersatu yang ditolak”.

Katanya, talian hayat politik terbaik PBM ialah berada dalam PKR, jika presiden parti itu, Anwar Ibrahim, bersara sebelum PRU akan datang.

Oh Ei Sun.

“Namun ini bergantung kepada kesediaan kepimpinan PKR masa depan untuk menerima mereka. Itulah sebabnya penting bagi mereka untuk melihat Anwar digantikan oleh sekumpulan pemimpin yang bersifat ‘pendamai’.”

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura pula berkata, BN tidak perlu melayan PBM jika ia berasa yakin dapat memenangi kerusi yang dipegang penyandang daripada PBM.

Tambahnya, PBM boleh mengharapkan Warisan atau PN jika BN tidak menerima mereka.

Bagaimanapun katanya, walaupun PBM akhirnya akan bertanding pada PRU secara bersendirian, segelintir pemimpinnya, seperti Sng, boleh mengekalkan kerusi mereka dengan baik kerana mempunyai akses kepada sumber.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.