
Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo, dalam hantaran di Facebooknya hari ini turut mempersoalkan berkenaan sokongan Timbalan Ketua Pesuruhjaya agensi itu terhadap ketua mereka, Azam Baki, yang berdepan serangan susulan dakwaan pemilikan saham korporat.
Dalam kenyataan sokongan itu semalam, tiga pegawai kanan berkenaan – Ahmad Khusairi Yahaya, Norazlan Mohd Razali dan Junipah Wandi – juga mendakwa Azam dijadikan mangsa bermotifkan politik dendam.
Gobind berkata, beliau berpandangan dakwaan politik dendam yang ditimbulkan itu sebagai janggal selepas mengambil kira perkembangan terbaharu membabitkan isu pemilikan saham itu.
“Pemilik saham sudah dikenal pasti. Ahli lembaga (Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah) sudah mengeluarkan kenyataan menjarakkan diri daripada pengerusinya susulan sidang media dibuat sebelum ini.
“Suruhanjaya Sekuriti (Malaysia) juga mahukan perincian. Ini berkenaan ketelusan dan kebertanggungjawaban, bukannnya politik,” katanya.
Gobind mengingatkan tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya berkenaan bahawa siasatan terhadap Azam masih berjalan dan mempersoalkan sama ada mereka akan meletak jawatan sekiranya keputusan siasatan mendedahkan keadaan sebaliknya.
Katanya, kenyataan dibuat tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya itu menidakkan kepentingan Azam bercuti ketika siasatan berjalan.
“SPRM tidak sepatutnya diletakkan pada kedudukan agensi itu harus bekerjasama membantu siasatan pada masa sama Azam masih ketua. Ia perkara tidak betul,” katanya.
Beliau turut mengingatkan ketiga-tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya itu bahawa rakyat mempunyai hak untuk mendapatkan penjelasan dan tindakan seperti mana kes dihadapi Azam.
“Ironinya, sudah menjadi peranan SPRM ditubuhkan menjurus tindakan seperti itu. Sepatutnya, mereka sendiri mengemukakan persoalan dan bertindak,” katanya.