Sabitan kes rasuah: Mahkamah tetap 26 Jun dengar permohonan Isa Samad

Sabitan kes rasuah: Mahkamah tetap 26 Jun dengar permohonan Isa Samad

Mahkamah Persekutuan akan dengar permohonan Isa Abdul Samad bagi kebenaran semak semula keputusan yang mengembalikan sabitan, hukuman penjara dan denda.

isa samad
Bekas pengerusi Felda, Isa Abdul Samad, mohon kebenaran semak semula keputusan sidang mahkamah yang mengembalikan sabitan, hukuman penjara dan denda terhadapnya.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan menetapkan 26 Jun untuk mendengar permohonan bekas pengerusi Felda, Isa Abdul Samad, bagi kebenaran menyemak semula keputusan sidang terdahulu yang mengembalikan sabitan rasuah, hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta terhadapnya.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz dan peguam, Hisyam Teh Poh Teik, mengesahkan perkara itu.

Pada 13 Mei lepas, sidang tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Hashim Hamzah menangguhkan pendengaran selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk melihat rakaman mahkamah dan transkripsi prosiding (CRT) pada 5 dan 10 Feb tahun ini berkaitan rayuan Isa.

Peguam Isa memohon CRT berkenaan bagi memastikan sama ada sidang terdahulu Mahkamah Persekutuan memberi ruang kepada hujah mengenai merit pembelaan dan rayuan bagi mengurangkan hukuman selepas beliau didapati bersalah.

Sebelum ini, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa peluang itu telah diberikan namun pihak pembelaan memilih untuk tidak mengemukakan sebarang hujahan.

Isa, 76, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb lepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan membebaskan beliau dan mengembalikan sabitan rasuah, hukuman penjara dan denda terhadapnya.

Pada 3 Feb 2021, Mahkamah Tinggi mendapati beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta, dengan tambahan hukuman penjara dua tahun sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024 membebaskan Isa daripada semua sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu dituduh menerima rasuah berjumlah RM3.09 juta daripada Ikhwan Zaidel, yang ketika itu pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip, sebagai dorongan untuk meluluskan pembelian MPHS oleh FICSB pada harga RM160 juta.

Isa kemudian memfailkan permohonan di bawah Kaedah 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan kebenaran semakan semula atas alasan berlaku pelanggaran keadilan asasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.