Lantikan Azam Baki ikut proses, tak timbul isu tak periksa latar belakang, kata bekas pegawai PM

Lantikan Azam Baki ikut proses, tak timbul isu tak periksa latar belakang, kata bekas pegawai PM

Azam Baki selaku pegawai kerajaan yang sedang berkhidmat tertakluk kepada semua syarat dan proses sebelum dan selepas pelantikan, kata Marzuki Mohamad.

Bekas pegawai Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad berkata, syor melantik seseorang pegawai dibawa ke perhatian PM dalam bentuk cadangan pelantikan, yang turut mengandungi laporan kelayakannya serta justifikasi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri yang lalu percaya pelantikan Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM mengikut peraturan dan kaedah yang ditetapkan, termasuk tapisan keselamatan dan pengisytiharan harta.

Bekas pegawai Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, mengingatkan Azam sebelum ini merupakan Timbalan KP Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dan selaku pegawai kerajaan yang sedang berkhidmat, tertakluk kepada semua syarat dan proses sebelum dan selepas pelantikan.

“Jadi tidak timbul soal sama ada PM8 membuat semakan latar belakang pegawai sebelum pelantikan dibuat,” katanya di Facebook.

Marzuki menjelaskan syor melantik seseorang pegawai dibawa ke perhatian PM dalam bentuk cadangan pelantikan, yang turut mengandungi laporan kelayakannya serta justifikasi.

Kelayakan pegawai berkenaan ditentukan menerusi proses tertentu, katanya, “termasuk proses tapisan keselamatan dan keutuhan dibuat oleh pelbagai agensi dari semasa ke semasa.”

Marzuki mengulas kenyataan Penasihat Khas kepada Perdana Menteri sekarang, Azalina Othman Said, yang menyoal sama ada Muhyiddin membuat semakan latar belakang terhadap Azam sebelum pelantikannya sebagai KP SPRM.

Minggu lalu, Azam menafikan sebarang salah laku dalam isu pemilikan lebih 4 juta saham dan waran syarikat tersenarai yang dibeli menerusi akaun dagangannya pada 2015 dan 2016 ketika beliau Pengarah Siasatan SPRM.

Azam berkata saham dan waran berkenaan dibeli dan dibiayai sepenuhnya oleh adiknya Nasir dan beliau bersedia bekerjasama dengan sebarang siasatan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Isu pemilihan saham itu di dedah oleh Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah pada 14 Dis lalu.

SC berkata ia akan mahu mendapatkan penjelasan daripada Azam berhubung pembelian saham berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.