Khairy, Noor Hisham mainkan peranan penting perangi wabak, kata MMA

Khairy, Noor Hisham mainkan peranan penting perangi wabak, kata MMA

Persatuan Perubatan Malaysia mempertahankan dua pemimpin itu susulan kritikan seorang Ahli Parlimen terhadap mereka.

Presiden MMA D Koh Kar Chai menyelar kritikan seorang Ahli Parlimen terhadap Khairy Jamaluddin dan Dr Noor Hisham Abdullah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyelar seorang Ahli Parlimen yang mepertikai kelayakan Menteri dan Ketua Pengarah Kesihatan dalam menangani wabak Covid-19.

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai menyifatkan kritikan Ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sing sebagai tidak adil malah memuji peranan dimainkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin serta Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam mengawal wabak.

“Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan memainkan peranan amat penting dalam memastikan wabak terkawal,” katanya.

Tiong semalam mempertikai sama ada Noor Hisham layak untuk mengetuai negara dalam memerangi Covid-19 disebabkan beliau “cuma pakar bedah” dan bukannya bukannya pakar kesihatan awam.

Mengulas perkara itu, Koh berkata: “Ketua Pengarah Kesihatan tidak semestinya mesti menjadi pakar kesihatan awam untuk merangka dasar bagi menguruskan wabak dengan berkesan.”

Katanya, kemungkinan besar Noor Hisham sering berunding dengan pakar kesihatan awam di dalam kementeriannya serta pakar antarabangsa dalam menguruskan wabak. Begitu juga Khairy yang mendapatkan nasihat pakar sebelum membuat sebarang keputusan berkenaan dasar.

“Malah, walaupun beliau (Khairy) bukan berlatar belakang perubatan, kami berpendapat prestasinya amat baik.”

Kor menyangkal dakwaan Tiong bahawa Malaysia sepatutnya mengguna pakai strategi seperti China, yang dilihat antara negara paling berjaya mengekang Covid-19.

“Keadaan di China amat berbeza. Mereka mungkin mampu mengadakan ‘lockdown’ tetapi kita tidak begitu. Kita tidak mampu melakukannya lagi kerana akan memberi kesan terlalu buruk terhadap ekonomi kita.

“Kami bersetuju dengan pendekatan Kementerian Kesihatan, iaitu mitigasi. Kita perlu hidup dengan virus ini dalam keadaan divaksinasi penuh, selain menerima dos penggalak dan mematuhi SOP ketat sehingga ancaman Covid-19 dilenyapkan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.