
Dalam kenyataan, tiga pegawai tertinggi SPRM berkata mereka mewakili seluruh warga badan itu dalam menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Azam selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Pendirian itu dinyatakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Ahmad Khusairi Yahaya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Norazlan Mohd Razali dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalism) Junipah Wandi.
“Kami berpendirian bahawa tohmahan dan serangan yang dibuat (terhadap Azam) adalah bermotifkan politik dendam bagi menjatuhkan imej dan kredibiliti SPRM,” kata mereka dalam kenyataan itu.
“Kami menggesa agar semua pihak menghentikan kemelut ini dan membiarkan proses undang-undang berjalan secara adil, telus dan saksama,” tambah kenyataan itu.
Tiga timbalan ketua pesuruhjaya SPRM itu berkata semua petugas SPRM bersatu hati dalam “mempertahankan institusi Ketua Pesuruhjaya dan SPRM demi kelangsungan pencegahan rasuah di negara tercinta.”
Azam terpalit dengan isu pemilikan jutaan saham dan waran syarikat tersenarai awam semasa beliau menjadi pengarah siasatan SPRM antara tahun 2015 dan 2016.
Pada sidang media tiga hari lalu, Azam menjelaskan pembelian itu dibuat oleh adiknya Nasir dengan menggunakan akaun dagangan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.
Azam menegaskan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dan akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Sekuriti yang mahu mendapatkan penjelasan daripadanya.
Antara isu yang dibangkitkan pelbagai pihak adalah pembiayaan pembelian saham berkenaan dan juga aspek perundangan mengenai penggunaan akaun dagangan individu oleh pihak ketiga.
Terdahulu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada keperluan menubuhkan satu badan bebas untuk menyiasat kes berkaitan.
Beliau berkata, sebagai suruhanjaya bebas, SPRM mempunyai tatacara tersendiri untuk mengendalikan kes berkenaan, contohnya, menerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).
Semalam, enam ahli LPPR menjauhkan diri daripada tindakan pengerusinya, Abu Zahar Ujang “membersihkan” Azam daripada sebarang salah laku dalam isu pemilikan saham itu.
Mereka berkata, komen Abu Zahar adalah pandangan peribadi beliau sepenuhnya.
Isu itu tercetus 14 Dis lalu, apabila Ahli Parlimen Sungei Buloh, Sivarasa Rasiah mendakwa Azam menjadi pemilik lebih empat juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai sewaktu beliau Pengarah Siasatan SPRM antara tahun 2015 dan 2016.
Tuduhan itu diuar-uarkan di media sosial dan minggu lalu, ahli badan pemantau SPRM, Edward Terence Gomez berundur daripada jawatankuasa itu kerana mendakwa tidak ada tindakan diambil untuk menyiasat dakwaan berkenaan.
Beberapa pihak, termasuk Pemuda PAS mendesak Putrajaya menjalankan siasatan telus terhadap Azam dan menggesa beliau bercuti sehingga siasatan dimuktamadkan.