Pengurus syarikat binaan mengaku tak salah rasuah jurutera daerah RM10,000

Pengurus syarikat binaan mengaku tak salah rasuah jurutera daerah RM10,000

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di Kelab Golf Forest City, Gelang Patah pada Jan tahun lepas.

Mahkamah menetapkan 26 Jan untuk sebutan semula kes selain mengguna pakai jaminan sama yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Shah Alam. (Gambar Reuters)
JOHOR BAHRU:
Seorang pengurus syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi suapan RM10,000 bagi mendapatkan kerja-kerja membaiki dan meningkatkan keselamatan jalan raya di sekitar Hulu Selangor.

Asdi Ali, 42, didakwa secara rasuah memberi suapan itu kepada jurutera daerah Hulu Selangor sebagai dorongan untuk mendapat anggaran harga jabatan untuk kerja-kerja mengganti dan meningkatkan aspek keselamatan jalan raya di Jalan Batang Kali-Genting Highland (B66) dan kerja membaik pulih permukaan jalan serta kerja berkaitan di Jalan Kuala Kali-Rasa dalam daerah Hulu Selangor, Selangor.

Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut di Kelab Golf Forest City, Gelang Patah, Januari tahun lepas mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Aliff Shaharuzaman menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM Shah Alam setiap bulan selain memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama kes rasuah yang dihadapi tertuduh di mahkamah itu kerana kedua-dua kes melibatkan pegawai penyiasat dan saksi sama.

Peguam Nazrin Sulaiman yang mewakili tertuduh memohon mahkamah untuk mengguna pakai jaminan yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Shah Alam sebanyak RM15,000, pasport diserahkan pada mahkamah, tidak mengganggu saksi selain perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Shah Alam setiap bulan.

Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail memutuskan untuk mengguna pakai jaminan sama yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Shah Alam dan menetapkan 26 Jan untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.