PERHILITAN pantau sekitar Pos Bihai untuk jerat ‘pak belang’

PERHILITAN pantau sekitar Pos Bihai untuk jerat ‘pak belang’

Ini susulan laporan dua harimau yang berkeliaran, serta dua kematian membabitkannya, termasuk seorang lelaki berusia 59 tahun semalam.

Seorang lelaki dilaporkan maut selepas diserang seekor harimau belang jantan lebih 100kg ketika membuang air kecil di belakang rumahnya di Pos Bihai pagi semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan menjalankan pemantauan dan kawalan di sekitar perkampungan Orang Asli di Pos Bihai, Gua Musang bagi memerangkap dua harimau belang yang dilaporkan berkeliaran.

Dua kematian turut dilaporkan akibat serangan harimau dengan yang terbaru membabitkan seorang lelaki berusia 59 tahun semalam.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, dua perangkap yang dilengkapi kamera turut dipasang di Kampung Tendrik dan Kampung Hak.

Tambahnya, sehingga hari ini, pihaknya masih belum dapat mengenal pasti dua harimau belang yang berkeliaran di Kampung Remau Dis lepas.

“Sudah hampir sebulan kami memasang perangkap, namun ia belum berhasil dan haiwan ini tidak masuk perangkap yang dipasang PERHILITAN biarpun sudah diumpan dengan kambing,” katanya, menurut laporan Harian Metro.

“Kami sangat berharap kedua-dua harimau belang yang diburu ini dapat ditangkap segera sekali gus melegakan penduduk kampung.”

Seorang lelaki dilaporkan maut selepas diserang seekor harimau belang jantan lebih 100kg ketika membuang air kecil di belakang rumahnya di Pos Bihai pagi semalam.

Mangsa dikatakan diseret harimau itu sebelum mayatnya ditemui anggota PERHILITAN.

Dilaporkan anak perempuan mangsa yang sedang menumbuk padi mengesyaki sesuatu berlaku kepada ayahnya selepas terdengar bunyi anjing menyalak kuat.

Penduduk kampung kemudian memeriksa di belakang rumah mangsa sebelum menemui kesan darah.

Ketika penduduk kampung terserempak harimau itu, ia cuba menyerang mereka namun dicederakan menggunakan lembing.

Pihak PERHILITAN berjaya menemui harimau berkenaan di hutan berhampiran menjelang tengah hari, namun tembakan terpaksa dilepaskan selepas haiwan liar itu cuba menyerang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.