Mudahkan pendaftaran OKU, gesa komuniti

Mudahkan pendaftaran OKU, gesa komuniti

Pada masa ini, prosesnya menjenuhkan, memakan banyak masa dan kos, selain memerlukan banyak dokumen sokongan, kata komuniti OKU.

JKM menerima 40,000 hingga 55,000 permohonan setahun bagi mendapatkan kad OKU.
PETALING JAYA:
Hidup dengan kekurangan upaya cukup sukar tetapi mendaftar sebagai orang kurang upaya (OKU) di negara mendatangkan cabaran tersendiri.

Proses pendaftaran untuk diiktiraf secara rasmi sebagai OKU ironinya tidak mesra OKU. Ia menjenuhkan, memakan banyak masa dan kos, selain memerlukan banyak dokumen sokongan, kata komuniti OKU.

Bagi Adieka Amirul, yang mempunyai diagnosis kurang upaya mental, masalah logistik dan keperluan banyak dokumen sokongan bagi memohon kad OKU menjadi cabaran utama.

“Ia agak menjenuhkan dan memakan masa. Saya perlu masa untuk isi borang permohonan, kumpul dokumen sokongan dan dapatkan pengesahan daripada pakar psikiatri kerana kekurangan upaya saya dianggap segelintir pihak sebagai ‘tidak dapat dilihat’,” katanya kepada FMT.

Keperluan berulang alik ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga menyusahkan kerana lokasinya tidak boleh diakses menggunakan pengangkutan awam, tambahnya.

“Dan walaupun JKM memperkenalkan platform dalam talian untuk pendaftaran OKU, kami tidak dapat benar-benar gunakannya, terutamanya bagi mereka yang kurang upaya penglihatan dan pendengaran,” kata Adieka, sambil menambah, permohonan boleh mengambil masa berbulan-bulan.

Seorang lagi individu, yang mahu dikenali sebagai Vince, memohon kad OKU tetapi diberitahu keadaannya tidak dianggap sebagai kurang upaya.

“Sebagai seorang yang mengalami rabun warna dan Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD), saya terkejut dan kecewa kerana kedua-duanya tidak dilihat sebagai kekurangan upaya,” katanya.

Menurut komuniti OKU, platform pendaftaran dalam talian disediakan JKM tidak dapat benar-benar digunakan, terutamanya oleh OKU penglihatan dan pendengaran.

Proses pendaftaran bagi OKU tertentu juga mungkin mahal.

Pengguna Twitter @depsilon01 berkata, beliau terpaksa berbelanja RM1,500 untuk menjalani ujian IQ, satu keperluan untuk mengesahkan kekurangan upaya pembelajarannya.

Bagaimanapun, seorang pegawai perhubungan JKM menjelaskan, bukan semua pemohon bawah kategori kurang upaya pembelajaran diwajibkan mengambil ujian IQ.

“Ia bergantung kepada keadaan pemohon. Kelulusan untuk kurang upaya pembelajaran boleh diperolehi melalui pengamal perubatan awam atau swasta.

“Bagaimanapun, jika anda mendapatkan pengesahan di fasiliti swasta, anda perlu menanggung kos yang ditetapkan oleh hospital,” katanya.

Menurut pegawai itu, JKM menerima 40,000 hingga 55,000 permohonan setahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.