Betulkah ada mesyuarat 24 Nov bincang isu Azam Baki, soal Gomez

Betulkah ada mesyuarat 24 Nov bincang isu Azam Baki, soal Gomez

Terence Gomez juga berkata Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah perlu menjelaskan mengapa mereka tidak mendesak siasatan bebas diadakan berkaitan pemilikan saham Azam Baki.

Pakar ekonomi Edmund Terence Gomez meletak jawatan daripada panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 27 Dis selepas menganggap lembaga itu gagal membincangkan laporan berkaitan Ketua Pesuruhjaya, Azam Baki.
PETALING JAYA:
Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) diminta mengesahkan sama ada berlaku mesyuarat pada 24 Nov, apabila Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki didakwa dibersihkan dalam isu pembelian saham.

Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) juga perlu menjelaskan mengapa mereka tidak mendesak siasatan bebas diadakan berkaitan pemilikan saham Azam, kata pakar ekonomi Edmund Terence Gomez yang meletak jawatan bulan lalu tanda protes terhadap kegagalan lembaga itu mengambil tindakan.

Enam ahli LPPR terdahulu hari ini berkata, Pengerusinya Abu Zahar Ujang memberi pandangan peribadi apabila membersihkan Azam dalam isu berkaitan pemilikan saham itu.

Mengulas perkara itu, Gomez berkata tidak cukup untuk ahli LPPR sekadar menjauhkan diri daripada kenyataan Abu Zahar itu.

Beliau menggesa mereka mengesahkan sama ada LPPR bertemu pada 24 Nov 2021 untuk membincangkan tuduhan terhadap Azam, seperti didakwa oleh Abu Zahar.

“Jika mesyuarat diadakan pada 24 November, kenapa saya tidak dimaklumkan mengenainya ketika membincangkan isu itu bersama beberapa ahli LPPR pada Disember? Kenapa saya tidak diberitahu bahawa nama Azam telah dibersihkan oleh ahli lembaga pada mesyuarat itu?” katanya dalam kenyataan.

“Ahli lembaga telah mengesahkan mereka tiada kuasa untuk membersihkan nama Azam daripada dakwaan melibatkannya. Jika mereka berkata demikian sekarang, bagaimana pula mereka boleh membersihkan nama Azam dalam perjumpaan 24 November?”

Enam ahli LPPR itu adalah Akhbar Satar, Ismail Omar, Azman Ujang, Hamzah Kassim, David Chua Kok Tee dan Mohammad Agus Yusoff.

Menurut mereka, kenyataan Abu Zahar itu adalah pandangan peribadinya, dan mereka telah mencadangkan isu berkenaan dirujuk kepada lebih lanjut kepada Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah atau Jawatankuasa Aduan SPRM.

Bagaimanapun, mereka berkata cadangan dan pandangan mereka itu tidak dibangkitkan Abu Zahar dalam sidang media berhubung isu itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.