Kad UNHCR bukan ‘lesen’ bertindak sesuka hati, Hamzah beri amaran etnik Rohingya

Kad UNHCR bukan ‘lesen’ bertindak sesuka hati, Hamzah beri amaran etnik Rohingya

Menteri Dalam Negeri itu memberi amaran kepada etnik Rohingya supaya 'jangan naik kepala'.

Hamzah Zainudin bersimpati dengan nasib etnik Rohingya, tetapi mereka tidak boleh melakukan kesalahan, contohnya berniaga di lampu isyarat dan meminta sedekah.
PETALING JAYA:
Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin memberi amaran kepada semua warga Rohingya agar “jangan naik kepala” kerana kad pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) bukan “lesen” untuk bertindak sesuka hati dan melanggar peraturan.

Beliau yang bersimpati dengan nasib warga Rohingya berkata, mereka tidak boleh melakukan kesalahan, contohnya berniaga di lampu isyarat dan meminta sedekah.

“Saya tak suka sesiapa yang naik kepala, melanggar undang-undang negara. Sesiapa sahaja, tak kira warganegara atau bukan, mahupun pelarian perlu ikut undang-undang negara ini. Kalau mereka tak patuh, boleh ambil tindakan.

“Sebab itu saya arahkan polis memberi perhatian pada perkara ini dan setiap anggota di lapangan perlu benar-benar faham keadaan mereka (pelarian) ini,” katanya dipetik Berita Harian.

Kelmarin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Saiful Annuar Yusoff berkata polis sedang mengesan kanak-kanak dipercayai etnik Rohingya, yang meminta sedekah dengan agresif, termasuk menunjukkan isyarat lucah kepada pengguna jalan raya sekitar ibu negara seperti tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Negara, Razarudin Husain pula dilaporkan berkata, polis tidak menolak kemungkinan ada sindiket yang terbabit sebagai “dalang” terhadap etnik Rohingya di negara ini, termasuk menggunakan kanak-kanak untuk mengemis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.