
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh, berkata semua suspek berusia 18 hingga 30 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan di Banting dan Bandar Baru Klang.
Beliau berkata, terdahulu polis menerima laporan daripada seorang setiausaha sebuah kuil di Telok Bunut, Banting, memaklumkan dua pekerja kuil itu cedera di kepala akibat dipukul menggunakan kayu oleh dua individu.
“Antara barang dilaporkan hilang ialah barang kemas milik kuil, pasport, telefon bimbit, komputer riba serta wang tunai RM7,800.
“Justeru bertindak atas maklumat, kita menahan dua suspek di Bandar Baru Klang dan tiga lagi di Banting, serta menemui semula barangan dipercayai disamun.
“Hasil siasatan mendapati mereka dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu dan memiliki rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Beliau berkata, modus operandi geng itu adalah melakukan jenayah pecah masuk premis, khususnya waktu malam, dengan membawa senjata seperti parang dan kayu rotan.
Jika ada pemilik atau pekerja di lokasi sasaran, katanya, geng itu didakwa akan mengikat dan menggunakan kekerasan, termasuk memukul mangsa.
Beliau berkata, geng itu dipercayai turut menyasarkan kuil berikutan terdapat barang kemas yang ditempatkan pengunjung bagi upacara sembahyang.
“Dengan penangkapan suspek terbabit, polis percaya dapat menyelesaikan 20 kes pecah masuk premis di sekitar Banting, Kuala Selangor dan Klang.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.