SC mahu Azam jelaskan kenyataan beli saham guna akaunnya

SC mahu Azam jelaskan kenyataan beli saham guna akaunnya

Suruhanjaya Sekuriti berkata, ia juga akan mengumpul bukti berkaitan perkara itu.

Azam Baki yakin beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dengan membenarkan adiknya menggunakan akaun beliau untuk membeli saham.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan “menghubungi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki untuk memberi penjelasan” susulan pendedahan bahawa adiknya membeli saham menggunakan akaun beliau.

Ini menyusul pendedahan Azam semalam yang yakin bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dengan membenarkan adiknya menggunakan akaun beliau untuk membeli saham.

SC dalam kenyataan hari ini berkata, mereka akan memanggil Azam untuk mengesahkan kenyataan dibuatnya “dan juga mengumpul sebarang bukti berkaitan”.

Katanya, setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat perlu dibuat atas nama pemilik benefisial sekuriti didepositkan.

Katanya, akaun itu juga boleh dibuka atas nama “penama yang diberi kuasa”.

SC memetik Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).

“Tambahan, Seksyen 29A SICDA menetapkan semua urusan dalam sekuriti hendaklah dilakukan pemilik benefisial atau penama diberi kuasa sahaja.”

Setakat ini, beberapa peguam dan Ahli Parlimen menggesa SC menyiasat sama ada Azam melanggar undang-undang pemilikan saham kerana membenarkan adiknya menggunakan akaun dagangan sahamnya.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago meminta SC memastikan sama ada Azam melanggar SICDA, manakala peguam M Manoharan dilaporkan berkata, seseorang tidak boleh meminjamkan namanya kepada orang lain untuk berdagang saham.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen pula berkata, Azam sepatutnya lebih arif dengan tidak membenarkan sesiapa meminjam akaun dagangan sahamnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.