
Menerusi tangkap layar palsu mengenai butiran peribadi Khairy disemak melalui laman sesawang https://www.vaksincovid.gov.my/semak-status/ itu mendakwa status janji temu beliau dinyatakan sebagai “sedang diproses”.
Sementara butiran lain seperti lokasi pusat pemberian vaksin (PPV), tarikh dan masa janji temu juga tidak dinyatakan.
Khairy berkata, laman sesawang tersebut diwujudkan pada peringkat awal pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi memudahkan urusan semakan kepada orang awam.
Namun katanya, ia tidak lagi aktif atau dikemas kini selepas kadar vaksinasi populasi dewasa mencapai 90% Oktober lalu.
“Untuk rekod, saya telah mendapat suntikan dos pertama vaksin CoronaVac pada 18 Mac 2021 dan merupakan individu pertama di Malaysia menerima vaksin keluaran Sinovac tersebut. Malah pengambilan dos pertama tersebut turut disiarkan secara langsung di saluran televisyen.
“Manakala suntikan dos kedua telah saya terima pada 8 April 2021. Saya juga sudah menerima suntikan dos penggalak vaksin Comirnaty keluaran Pfizer pada September lalu sebelum berlepas ke Himeji, Jepun bagi mesyuarat Jawatankuasa Rantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WPRCM) Ke-72,” katanya di Facebook.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai untuk tidak terpengaruh dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menidakkan usaha vaksinasi negara.
Khairy turut berkongsi pautan video siaran langsung di YouTube yang memaparkan hari beliau menerima dos vaksin pertama pada 18 Mac tahun lalu.