
Ketua Polis Melaka, Mohd Ali Abdul Majid berkata, suspek berusia 37 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira 1.15 tengah hari, hasil risikan polis.
“Suspek itu dipercayai aktif dengan kegiatan menjual senjata tiruan itu sejak dua tahun lepas, malah didapati melakukan kesalahan sama berulang kali sejak 2001, selain memiliki tiga rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan senjata api.
“Hasil pemeriksaan di rumahnya, polis juga menemui tujuh laras senapang angin yang menyerupai senjata sebenar, beberapa komponen senapang angin serta peluru ‘ball bearing’ (alas bebola),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Ali berkata, senapang angin itu dijual dalam bentuk komponen menggunakan khidmat penghantaran kurier, sebelum suspek menghantar video melalui aplikasi WhatsApp untuk mengajar cara pemasangan senjata kepada pelanggannya.
Katanya, hasil siasatan juga mendapati suspek mendapatkan bekalan dari negara jiran menggunakan laluan air dan dipercayai membeli komponen senapang angin itu secara berperingkat.
“Suspek juga menjual empat laras senapang angin dengan harga RM3,500 setiap satu kepada pelanggan dari negeri lain menerusi kenalan rapatnya dan polis akan mengenal pasti pembeli terbabit untuk tindakan lanjut.
“Hasil soal siasat juga suspek mendakwa senjata tiruan itu digunakan untuk memburu, namun ujikaji tembakan yang dijalankan Bahagian Persenjataan IPK Melaka mendapati peluru alas bebola dirampas itu boleh mendatangkan kecederaan serius jika disalahgunakan.”
Katanya, suspek direman lima hari mulai tarikh ditahan sehingga 8 Jan ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.