
Antara alasan diberikan adalah, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali terkhilaf apabila mengarahkan Isa membela diri, dan seterusnya mendapatinya bersalah pada akhir perbicaraan.
Isa mendakwa, hakim itu juga sangat bergantung kepada keterangan bekas pegawai khasnya Muhammad Zahid Md Arip, yang telah bersubahat dengan individu lain melibatkan rasuah RM3 juta.
Pada 3 Feb, Nazlan memerintahkan Isa dipenjara enam tahun dan denda RM15.4 juta bagi sembilan tuduhan rasuah melibatkan RM3.09 juta berkaitan pembelian hotel oleh Felda. Isa dibenarkan jaminan RM1.5 juta selepas mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan selesai di Mahkamah Rayuan.
Isa yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan (1982-2004) dan bekas menteri persekutuan, didakwa menerima habuan RM3.09 juta kerana meluluskan pembelian hotel itu.
Dalam petisyen rayuan difailkan Tetuan Salehuddin Saidin & Associates November lalu yang dilihat oleh FMT, Isa berkata hakim perbicaraan terkhilaf apabila memutuskan saksi pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.
Isa berkata, hakim itu lebih fokus terhadap bukti dikemukakan pendakwaan tetapi gagal menilai saksi ketika disoal balas.
“Beliau memutuskan Zahid bukan saksi berkepentingan, sedangkan perkara itu jelas ditunjukkan menerusi keterangan saksi pembelaan,” katanya.
Katanya, hakim juga telah membuat spekulasi bahawa penjualan itu bagi mengumpul dana untuk pilihan raya negeri (PRN) Sarawak 2016 sedangkan tidak dibuktikan bahawa beliau terlibat dengan PRN itu.
Isa juga mendakwa hakim berkenaan gagal mempertimbangkan beliau adalah saksi yang jelas bercakap benar, sebaliknya memutuskan pembelaannya sebagai difikirkan kemudian dan penafian semata-mata.
Isa menggesa Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan dan hukumannya yang disifatkan keterlaluan. Pengurusan kes terakhir adalah pada 2 Mac untuk menetapkan tarikh perbicaraan.
Dalam penghakiman sepanjang 400 muka surat, Nazlan berkata rasuah adalah jenayah serius kerana memberi kesan terhadap rakyat dan negara.