Tiada konflik kepentingan, LPPR ‘bersih’ nama Azam daripada salah laku pembelian saham

Tiada konflik kepentingan, LPPR ‘bersih’ nama Azam daripada salah laku pembelian saham

Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) membersihkan nama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Azam Baki daripada dakwaan salah laku berhubung pembelian saham syarikat sebelum ini.

Abu Zahar Ujang (tiga dari kiri) berkata, LPPR telah meminta penjelasan daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Azam Baki berhubung perkara terbabit.
PUTRAJAYA:
Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) membersihkan nama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Azam Baki daripada sebarang salah laku berhubung pembelian saham syarikat.

Pada sidang media tengah hari tadi, Pengerusinya Abu Zahar Ujang berkata, mereka telah meminta penjelasan daripada Azam berhubung perkara terbabit.

“Pembelian saham itu dilakukan dalam pasaran terbuka pada 2015 dan tidak ada konflik kepentingan,” katanya.

Zahar berkata, lembaga itu berpuas hati dengan penjelasan Azam dan mendapati tiada elemen konflik kepentingan.

“LPPR telah merancang untuk mengeluarkan kenyataan mengenai perkara ini pada masa tertentu tetapi malangnya ia dibangkitkan terlebih dahulu oleh bekas ahli panel Edmund Terence Gomez, dan ia mengejutkan saya” katanya.

Zahar mengulangi bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang surat daripada Gomez berhubung perkara itu.

“Saya sentiasa terbuka untuk membincangkan (isu itu) dengan Terence (Gomez) kerana kita tidak akan bertolak ansur atau melindung sesiapa tanpa mengira jawatan.

“Saya berpandangan bahawa sebarang aduan mesti disertakan dengan bukti kukuh,” katanya.

Gomez meletak jawatan sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) setelah mendakwa panel berkenaan gagal menangani dakwaan ke atas Azam.

Dalam surat peletakan jawatannya, Gomez, mendakwa perkara itu menimbulkan persoalan mengenai “hubungan antara perniagaan dan pihak penguat kuasa” dan situasi “konflik kepentingan” membabitkan ketua SPRM itu.

Zahar sebelum ini dilaporkan berkata, Gomez sepatutnya mengadu isu itu kepadanya atau membuat laporan polis supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.