
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito berkata, ini adalah cara yang lebih baik untuk membantu pekerja yang memerlukan berbanding membenarkan mereka menggunakan simpanan KWSP.
“Kecemasan semasa seperti banjir membuktikan jaringan keselamatan sedia ada, termasuk KWSP dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tidak mencukupi. Kita perlu menambah pilihan yang ada seperti dana khas ini,” katanya kepada FMT.
“Dengan persetujuan pekerja, majikan boleh bekerjasama dengan firma insurans swasta atau bank untuk melabur dalam dana kecemasan khusus dengan peratusan kecil daripada gaji pekerja akan diketepikan untuknya.
“Wang ini boleh diminta oleh pekerja dalam kes kecemasan. Jika dana itu tidak digunakan, ia akan ditambah kepada dana pencen swasta pekerja pada penghujung hayat bekerja mereka.”
Dalam jangka pendek katanya, kerajaan harus menyokong mangsa banjir dengan dana daripada hasil cukai durian runtuh yang dijangkakan.
“Sumber juga dapat dialihkan daripada dana Covid-19 negara,” tambahnya.
Seorang lagi pakar ekonomi, Yeah Kim Leng daripada Universiti Sunway berkata, perniagaan boleh digalakkan untuk menyediakan bantuan kewangan dan lain-lain seperti barangan isi rumah bersubsidi bagi menggantikan barangan yang rosak akibat banjir.
Katanya, perniagaan ini mungkin majikan atau bukan kepada mangsa banjir.
“Isi rumah yang terjejas boleh dibantu dengan pinjaman tanpa faedah yang boleh diberikan oleh institusi kewangan sebagai sebahagian daripada pengecualian cukai atau program CSR (tanggungjawab sosial korporat),” katanya.
“Selain itu keutamaan peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan perlu diberikan kepada mangsa banjir yang terjejas mata pencarian.”
Baru-baru ini, beberapa pihak menggesa agar pengeluaran “one-off” daripada simpanan KWSP dibenarkan bagi mangsa banjir.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi, misalnya, mengkritik Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz kerana tidak membenarkannya.
Kerajaan sebelum ini membenarkan pencarum KWSP menggunakan simpanan mereka sebagai langkah kecemasan bagi mengharungi kesulitan akibat wabak Covid-19.
Sebanyak RM101 bilion dikeluarkan oleh tujuh juta pencarum KWSP menerusi tiga skim pengeluaran.
Pengeluaran kecemasan ini menyebabkan 6.1 juta pencarum – hampir separuh daripada ahli KWSP – mempunyai baki kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka.
Daripada jumlah itu, 3.6 juta mempunyai baki kurang daripada RM1,000, jauh daripada RM240,000 yang ditetapkan oleh KWSP sebagai jumlah minimum yang perlu dimiliki pencarum pada usia 55 tahun agar dapat bersara dengan selesa.