Bukannya beri ‘perlindungan’, JPJ iring pemandu lori balak elak lolos

Bukannya beri ‘perlindungan’, JPJ iring pemandu lori balak elak lolos

JPJ berkata apa yang ditularkan di media sosial sebenarnya kenderaan pegawai jabatan itu mengiringi lori balak terbabit bagi memastikan pemandu tidak lolos dari kawalan.

Tangkap layar video tular memaparkan kenderaan JPJ menunggu di satu simpang jalan dekat Gua Musang, Kelantan yang turut mendakwa jabatan itu seolah-olah memberi ‘perlindungan’ kepada pemandu lori balak.
PETALING JAYA:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan dakwaan bahawa pihaknya melindungi lori balak seperti ditularkan di media sosial, semalam.

JPJ dalam kenyataan berkata, insiden yang dipaparkan dalam video yang dirakam oleh warganet itu sebenarnya adalah sebahagian daripada Ops Lori Balak yang dilaksanakan JPJ Kelantan pada 3 Jan.

Katanya, dalam operasi itu, JPJ menahan 30 lori balak di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang sebelum ia diarahkan ke stesen jambatan timbang JPJ di Mentara.

“Apa yang ditularkan di media sosial sebenarnya adalah kenderaan JPJ sedang mengiringi lori untuk memastikan pemandu tidak lolos daripada kawalan kami dan bergerak ke lokasi seperti diarahkan.

“Tindakan mengiringi lori tersebut adalah salah satu prosedur operasi standard (SOP) untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa JPJ memandang serius persepsi negatif yang dibuat terhadapnya seolah-olah memberi “perlindungan” kepada lori balak tersebut.

“Apa yang ditularkan itu mencemarkan imej JPJ tanpa usul periksa. Sebenarnya ia gerak kerja kami untuk menangani isu lori balak membawa muatan lebih.

“Berikutan itu, JPJ tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis sekiranya tuduhan itu menjejaskan kredibiliti dan imej kami,” katanya.

Dalam operasi itu, JPJ mengeluarkan 56 saman mengikut Seksyen 82(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, Seksyen 224 APAD 2010 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Video tular berdurasi 43 saat sejak semalam memaparkan kenderaan JPJ menunggu di satu simpang jalan dekat Gua Musang dan mendakwa JPJ seolah-olah memberi perlindungan kepada pemandu lori balak.

Dalam video itu turut kelihatan beberapa buah lori sarat dengan muatan balak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.