
Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming berkata, gesaan Najib menunjukkan bahawa beliau mungkin tidak memikirkan kepentingan jangka panjang rakyat, termasuk komuniti Bumiputera.
KWSP sebelum ini mendedahkan bahawa 3.6 juta pencarum, termasuk dua juta Bumiputera mempunyai baki kurang RM1,000 dalam akaun mereka,
Sebaliknya, Najib menggunakan cara yang semakin populis dan “tidak bertanggungjawab dari segi kewangan” untuk menarik orang ramai, kata Ong dalam kenyataan.
Beliau menggesa “suara-suara wajar dalam kepimpinan Umno supaya tampil berkongsi kebimbangan mengenai gesaan berulang-ulang agar rakyat menggunakan simpanan KWSP mereka”.
Dengan berbuat demikian katanya, akan timbul implikasi peribadi jangka panjang yang serius, terutamanya bagi pencarum B40 yang akan tinggal sedikit baki dalam akaun KWSP apabila bersara.
Pada 14 Dis, Zahid menggesa kerajaan membenarkan pengeluaran lanjut daripada KWSP bagi membantu mereka yang masih terkesan dari segi ekonomi akibat Covid-19 memandangkan moratorium pinjaman dijangka berakhir bulan itu, diikuti dengan pengagihan terakhir pengeluaran KWSP terdahulu.
Menurutnya, bukan semua rakyat Malaysia bersedia untuk menunaikan komitmen mereka kerana ramai yang tiada pekerjaan stabil atau dapat mengaut keuntungan daripada perniagaan mereka.
Semalam, FMT melaporkan bahawa Najib menyenaraikan tiga sebab yang mewajarkan desakannya bagi satu lagi pengeluaran i-Citra:
- Pengeluaran dapat diseimbangkan semula dengan meningkatkan kadar caruman majikan dan menstruktur semula kadar dividen;
- Mereka yang menyokong i-Citra percaya kebanyakan rakyat ada rasa tanggungjawab dan akan bekerja keras untuk memulihkan simpanan mereka, sama ada dalam KWSP atau melalui pelaburan lain; dan
- Penyokong i-Citra sedar bahawa wabak ini adalah situasi luar biasa dan ramai belum lagi pulih disebabkan sekatan berpanjangan sejak dua tahun lepas.